Kumpulan serpihan  Islam kena serang  
Gambar pada September 2011 ketika anggota MILF berkawal di kem Darapanan di wilayah Sultan Kudarat, selatan Mindanao. MILF dilaporkan bekerjasama dengan tentera Filipina menyerang BIFF di selatan Mindanao kelmarin. - Foto AFP
 
Manila: Tentera Filipina semalam dilaporkan menyerang sebuah kumpulan serpihan Islam yang belot, dua hari selepas kumpulan pemisah Islam utama negara itu berjaya mengakhiri rundingan bagi menamatkan pemberontakan sejak berdekad yang membunuh berpuluh penduduk.

Tentera yang dibantu meriam, menyerang gerila Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di sebuah kampung pedalaman di pulau selatan Mindanao, mencetuskan pertempuran yang menyebabkan beratus-ratus penduduk awam melarikan diri, kata tentera.


Serangan berterusan

Serangan bermula pagi Isnin dan berterusan sepanjang hari, kata Kolonel Hermoso, yang menjelaskan tiada sebarang kematian atau kecederaan dilaporkan.

Hermoso berkata Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang mempunyai kekuatan 12,000 tentera merumuskan rundingan damai dengan kerajaan hujung minggu lalu, turut membantu tentera.

“MILF adalah sebahagian daripada operasi penguatkuasaan undang-undang itu. Mereka menjaga keselamatan penduduk di mana BIFF tidak dapat memasukinya. Mereka juga marah dengan BIFF,” katanya.
Jurucakap tentera MILF Von al-Haq mengesahkan bahawa tentera bekerjasama dengan MILF sebelum serangan.

“BIFF tidak memasuki wilayah kami. Kami mempunyai garisan di mana kami mempunyai kakitangan yang ditempatkan semula. Jika mereka lari mereka tidak boleh memasukinya kecuali jika menyerah diri,” katanya.

Brigadier Jeneral Edmundo Pangilinan, seorang daripada komander operasi berkata ia adalah satu serangan yang secara kebetulan berlaku selepas rumusan rundingan damai dengan MILF. - AFP sumber