Thursday, January 2, 2014

MALAYSIA - Tangani Ajaran Sesat

PPMM sokong syor lestari penguatkuasaan agama Islam

Tahun 2013 yang sudah dua hari berlalu adalah tahun agak mencabar bagi mereka terbabit dalam isu perundangan Islam. Terdapat pelbagai isu positif dan negatif membabitkan perundangan Islam. 

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kalimah Allah di tanah air tercinta bukanlah satu usaha mudah kerana lumrah perjuangan Islam pasti ada pengorbanan dan kesusahan. Sedangkan Nabi pun menghadapi pelbagai rintangan, inikan umatnya yang jauh lebih banyak kekurangannya. 
Antara isu hangat diperkatakan sepanjang 2013 ialah perkahwinan pada usia muda iaitu bagi lelaki Islam di bawah 18 tahun dan wanita di bawah 16 tahun. Sesetengah golongan mendakwa perkahwinan itu terlalu luntur dan tidak patut dibenarkan. 


Mengikut undang-undang keluarga Islam negeri, perkahwinan sebegini hanyalah pengecualian dan perlu mendapat kebenaran khusus daripada Mahkamah Syariah. Apa yang menghairankan, perkahwinan pasangan bawah umur juga berlaku dalam kalangan bukan Islam dengan kebenaran khas Menteri Besar/Ketua Menteri, tetapi tidak digembar-gemburkan.


Isu ajaran sesat

Isu ajaran sesat juga tidak kurang mendapat tempatnya di dada akhbar sepanjang 2013. Kemuncaknya apabila kalangan penganut ajaran sesat telah didakwa membunuh Ketua Penguatkuasa Agama Islam Pahang, baru-baru ini.
Jelaslah penganut ajaran sesat sanggup bertindak di luar batasan apabila ajaran mereka ingin diperbetulkan oleh pihak berkuasa agama. Terdapat pelbagai ajaran yang telah difatwakan sesat seperti ajaran Tuhan Harun, bekas pengikut Al-Arqam, Syiah, Qadiani dan banyak lagi yang masih berleluasa di Malaysia.

Menangani isu ajaran sesat ini perlu dibuat dengan penuh berhemah dan berhati-hati kerana ia membabitkan akidah umat. Ia tidak hanya perlu diatasi melalui tindakan di mahkamah, tetapi yang lebih penting ialah proses istitabah iaitu mengajak mereka bertaubat dan bermuzakarah mengenai kesesatan mereka.

Tindakan mahkamah memang boleh diambil, tetapi ia bukan keutamaan kerana tindakan itu mungkin akan menambahkan lagi kesesatan mereka terhadap pegangan Islam sebenar. Natijah daripada isu ajaran sesat, timbul cadangan mewujudkan Polis Syariah. 

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyokong usaha ini bagi melestarikan penguatkuasaan agama Islam di negara ini. Secara perbandingannya, kita ada Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Pendakwa Raya dan Pendakwa Syariah.

Tetapi, apabila menguatkuasakan undang-undang oleh polis dan penguat kuasa agama. Begitu jauh perbezaan kedua-dua entiti ini.

Tahun lalu juga mencatat sejarah apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober 2013 secara sebulat suara memutuskan keputusan Menteri Dalam Negeri melarang Titular Roman Catholic Church of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berkala mingguannya. 

Berdasarkan pengalaman sebagai salah seorang peguam mewakili Majlis Agama Islam Terengganu bersama peguam Islam lain dalam kes itu, suasana dalam mahkamah dengan perbincangan di luar mahkamah amat berlainan. 

Ramai ingin jadi hero

Terlalu ramai yang ingin menjadi hero memberi pelbagai komentar yang di luar konteks malah, tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat beberapa kalangan yang berniat jahat memutarbelitkan keputusan mahkamah rayuan itu.

Hatta, peguam sujud syukur selepas keputusan diberikan pun dijadikan isu sesetengah orang Islam dan bukan Islam. Malah, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam lawatannya ke Malaysia turut mendesak kerajaan berhubung keputusan mahkamah itu.

Ini tidak selari dengan paksi pemerintahan negara kerana pihak eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman begitu juga sebaliknya. Tetapi desakan ini secara terang ingin memusnahkan pembahagian kuasa yang telah sekian lama wujud dan menjadi amalan Malaysia dan kebanyakan negara di dunia. 

Bukan saja PBB yang mendesak kerajaan di dalam kes kalimah Allah ini, badan-badan lain dalam dan luar negara juga begitu ghairah memberi tekanan kepada kerajaan atas nama hak asasi.

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai COMANGO menghantar memorandum kepada Majlis Hak Asasi PBB di Geneva semasa proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang dihadiri Malaysia. 

Beberapa tuntutan dikemukakan COMANGO dilihat NGO Islam sebagai menghakis kedaulatan negara dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. 

NGO Islam yang dipelopori PPMM telah membentuk sebuah gagasan dinamakan MuslimUPRo bagi mengusahakan wadah melobi negara lain yang terbabit dalam proses UPR serta memberi penerangan kepada NGO lain di Geneva mengenai kedudukan sebenar di Malaysia. 

Reaksi yang diterima amat mengejutkan kerana kami yang menyuarakan kebimbangan umat Islam dilabel dan dituduh dengan pelbagai gelaran seolah-olah tidak mempunyai hak bersuara. Hak itu hanya dimiliki pihak yang bersetuju dengan mereka saja.

Sebenarnya terdapat banyak lagi isu perundangan syariah menjadi perbahasan sepanjang tahun lalu. Dijangka tahun ini lebih banyak isu berhubung undang-undang syariah bakal diperkatakan dan diperdebatkan. 

Moga tahun 2014 memberi cahaya kepada usaha mendaulatkan Islam di Malaysia dan menjadi tahun di mana umat Islam akan dapat bersatu mengetepikan ideologi politik bagi mempertahankan kedaulatan Islam. 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments: