gambar sebelum  gambar berikut
Foto Letupan pertama di Bangunan Direktorat Keselamatan, Kaherah. 4 maut, 70 cedera.
Sekurang-kurangnya lima maut, 70 cedera dalam keganasan terbaharu di Mesir

KAHERAH: Tiga letupan bom menggegarkan ibu negara Mesir, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh semalam, ketika rakyat negara itu bersiap sedia memperingati ulang tahun ketiga kebangkitan rakyat pada 2011.

Dalam serangan pertama, penyerang memandu kereta dipenuhi bom merempuh pagar besi yang mengelilingi bangunan direktorat keselamatan di Kaherah kira-kira jam 6.15 pagi waktu tempatan, mengorbankan empat orang dan mencederakan lebih 70 lagi, kata pegawai polis dan kementerian kesihatan.

Serangan berlaku sehari sebelum polis ditempatkan di seluruh Kaherah menjelang ulang tahun ketiga kebangkitan menumbangkan bekas diktator Hosni Mubarak, dengan pergerakan Islam menggesa bantahan besar-besaran menentang rejim baharu.

“Mereka tidak mahu rakyat meraikan ulang tahun 25 Januari,” kata Menteri Dalam Negeri, Mohamed Ibrahim mengenai penyerang, sambil menambah beliau menjangkakan ramai yang akan turun ke jalan raya semalam.

Saksi pengeboman di ibu pejabat polis berkata, kereta dipenuhi jerangkap samar merempuh pagar besi di sekeliling bangunan.
“Saya berada di tingkat tiga, dengan ketua keselamatan. Kereta merempuh pagar dan letupan kedengaran,” kata anggota polis, Mahmud Mushref.

Letupan menyebabkan kawah besar di tanah dan asap memenuhi bandar raya itu, kata wartawan AFP.

“Kenderaan itu cuba hampir dengan bangunan tetapi dihentikan di pintu pagar. Angka korban kecil berbanding saiz letupan,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hany Abdel Latif.

Tidak ramai berada di jalan raya kerana penduduk lelaki menunaikan solat Jumaat. Televisyen melaporkan penyiasat menemui mayat suspek pengebom bunuh diri.

Saksi yang tinggal di pangsapuri kira-kira 200 meter dari bangunan polis berkata beliau terbangun akibat letupan itu.

“Bangunan kediaman saya bergegar,” kata Yahya Attiya.

Beberapa jam kemudian, bom meletup berhampiran stesen metro di tengah Kaherah, mengorbankan seorang mangsa.

Ibrahim berkata bom menyasarkan kenderaan yang membawa anggota polis ke tempat mereka.

Bom kecil ketiga diletakkan di belakang papan tanda berhampiran balai polis di jalan raya menuju ke piramid Giza, kata kementerian dalam negeri, sambil menambah tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Polis pencegah rusuhan menghalang beratus orang, sebahagian daripadanya melaungkan slogan mengecam Ikhwanul Muslimin. Penyerang meningkatkan serangan sejak tentera menyingkirkan Presiden Mohamed Morsi Julai lalu. – AFPsumber