Warga Mesir mengibarkan bendera dan melaungkan slogan ketika menunggu giliran untuk membuang undi di daerah Giza di selatan Kaherah, semalam. - Foto AFP]
Kaherah: Rakyat Mesir semalam berbaris untuk membuang undi pada hari kedua dan terakhir pungutan suara mengenai Perlembagaan baru negara itu dan tidak terganggu dengan keganasan yang melanda negara itu. 

Proses itu menjadi peristiwa penting dalam pelan politik disokong tentera ke arah pilihan baru memilih presiden dan ujian mengenai pandangan awam berhubung rampasan yang menyingkirkan Presiden Mohammed Morsi Julai lalu. 
Pengundian menunjukkan perpecahan serius di negara itu antara Ikhwanul Muslimin yang menyokong Morsi dan tentera serta pasukan keselamatan di pihak satu lagi, disokong penduduk yang mahukan kestabilan selepas tiga tahun mengharungi huru-hara dan kelembapan ekonomi sejak kebangkitan 2011, yang menumbangkan pemerintah kuku besi, Hosni Mubarak. 


Orang ramai berbaris 

Orang ramai berbaris di luar pusat pengundian ketika dibuka jam 9.00 pagi waktu tempatan semalam dengan dikawal ketat seperti undian hari pertama, apabila penunjuk perasaan pro-Morsi membakar tayar dan membaling polis dengan batu dan bom api, mencetuskan ketegangan yang cukup memastikan pengundi tidak keluar rumah. 

Kementerian Kesihatan berkata kelmarin, angka kematian mencecah 11 orang. 

Secara keseluruhan, 294 orang kebanyakannya penyokong Ikhwanul Muslimin ditahan kelmarin berhubung cubaan mengganggu undian mengenai Perlembagaan dan bertempur dengan polis, kata pegawai tinggi Kementerian Dalam Negeri. - AP SUMBER