Wednesday, January 15, 2014

MESIR - Rakyat Mula Mengundi

Rakyat Mesir mula mengundiPolis Mesir memeriksa bangunan mahkamah Imbaba di Kaherah selepas letupan bom pagi semalam beberapa jam sebelum pengundian bermula, yang merosakkan bahagian depan bangunan manakala gambar kecil wanita Mesir menunjukkan jari yang sudah dicelup dakwat selepas mengundi di Kaherah. - Foto AP
Kerajaan tentera gesa penduduk keluar sokong pinda perlembagaan

Kaherah: Rakyat Mesir semalam mengundi menentukan perlembagaan baru, dalam suasana kawalan keselamatan ketat untuk mencari pungutan suara yang bakal membuka jalan bagi ketua angkatan tentera yang menggulingkan presiden Mohamed Morsi untuk memegang jawatan presiden. 

Kerajaan tentera itu menggesa rakyat keluar beramai-ramai mengundi bagi meminda perlembagaan, tatkala polarisasi negara itu tergambar melalui letupan kecil bom di Kaherah, bagaimanapun ia tidak mengakibatkan kecederaan. 

Gesa protes aman 

Gabungan parti Islam diketuai Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi meminta pengundi memboikot dan menganjurkan ‘protes aman’ ketika pengundian dua hari itu, manakala Kementerian Dalam Negeri berikrar akan menggagalkan usaha kumpulan yang mahu mengganggu pengundian. 

Menteri Pertahanan Abdel Fattah al-Sisi, jeneral yang menggulingkan Morsi pada Julai, melawat pusat mengundi di sebuah sekolah di utara Kaherah selepas pengundian bermula dan meninjau persediaan keselamatan. 

“Kerja keras. Kita memerlukan referendum itu untuk terjamin selamat,” katanya kepada tentera yang berkawal di sekolah itu. 

Menurut polis beberapa minit sebelum pusat pengundian dibuka, letupan kecil bom berlaku di luar sebuah mahkamah di Kaherah yang merosakkan luar bangunan tetapi tiada yang cedera. 
Kerajaan berharap bilangan ramai yang keluar mengundi akan memihak kepada perlembagaan baru itu, sekali gus memperkukuhkan kuasa yang selama ini dipertikaikan, manakala Sisi akan memantaunya sebagai “petunjuk” popularitinya, kata seorang pegawai yang rapat dengan jeneral itu. 

Presiden sementara Adly Mansour merayu rakyat untuk mengundi. 

“Rakyat mesti menamatkan keganasan, dan mereka mesti berani,” katanya selepas mengundi. 

“Undian ini bukan saja untuk perlembagaan tetapi juga sebagai laluan supaya negara mempunyai presiden yang dipilih dan Parlimen.” AFP sumber

No comments: