Keganasan terhadap etnik Rohingya: Myanmar  diarah  lakukan siasatan adil Gambar fail menunjukkan etnik Rohingya melarikan diri daripada keganasan di wilayah mereka di negeri Rakhine, Myanmar. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan penduduk Rohingya di Myanmar adalah etnik paling tertindas di dunia.
 
PBB terima maklumat kukuh pembunuhan di Rakhine

Yangon: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan Myanmar menyiasat laporan pembunuhan berpuluh-puluh lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam serangan ke atas etnik Islam Rohingya dengan pembabitan pihak polis.

PBB berkata, ia menerima ‘maklumat kukuh’ beberapa siri serangan di kawasan pedalaman Rakhine awal bulan ini, yang mana ia adalah salah satu kebimbangan terbaru membabitkan pergolakan wilayah itu.


“Saya bersimpati ke atas korban di kampung Du Chee Yar Tan dan menggesa pihak berkuasa melaksanakan siasatan adil sepenuhnya dengan segera selain memastikan mangsa dan keluarga mereka menerima keadilan,” kata ketua hak asasi manusia PBB, Navi Pillay dalam satu kenyataan pada Khamis.


Lelaki Islam diserang

PBB berkata, ia mempunyai maklumat bahawa lapan lelaki Islam Rohingya diserang dan terbunuh di kampung itu, berhampiran sempadan Bangladesh disebabkan tindakan sekumpulan etnik Rakhine beragama Buddha pada 9 Januari.

Polis dibunuh

Empat hari kemudian, seorang polis berpangkat sarjan dalam kampung yang sama ditangkap dan dibunuh oleh etnik Rohingya.

Kesannya, polis dan etnik Rakhine tempatan bertindak membunuh sekurang-kurang 40 lelaki Islam Rohingya, wanita dan kanak-kanak pada petang hari sama, menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa PBB sudah menyerahkan maklumat yang diperoleh kepada kerajaan Myanmar. - AFP sumber