Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA), Jean-Jacques Dordain (kiri) dan Pengarah Pusat Operasi Angkasa Eropah (ESOC), Thomas Reiter bersorak selepas menerima mesej dari kapal angkasa Rossetta di pusat operasi ESOC di Darmstadt, Jerman, semalam. - Foto Reuters
Berlin: Selepas hampir tiga tahun ‘tidur’ sebuah kapal angkasa pengesan komet, berfungsi semula dan menghantar isyarat pertama kembali ke bumi, semalam. Perkembangan ini menggembirakan saintis yang berharap dapat menggunakannya untuk melakukan pendaratan di atas komet. 

Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) menerima mesej jelas dari kapal angkasa Rosetta pada 7.18 malam waktu tempatan, ketika kapal angkasa itu berada pada jarak lebih 800 juta kilometer dari Bumi. Bagi menjadikan penantian itu lebih bermakna, isyarat turut diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. 
Sistem pendam pada kapal angkasa tanpa manusia itu dihidupkan kembali sebagai persediaan peringkat akhir misi sejak sedekad lamanya itu iaitu untuk bertemu kembali dengan komet yang dikenali 67P/Churyumov-Gerasimenko. Sistemnya dimatikan sejak 2011 untuk menjimatkan tenaga, membuatkan saintis tertanya-tanya nasib kapal angkasa itu sehingga kini. Berikutan masa diambil Rosetta untuk terjaga dan jarak antara kapal angkasa dan bumi, isyarat paling cepat seterusnya akan diterima sekitar 6.30 petang. 


“Saya rasa ia penantian paling lama di dalam hidup. Kini ia kembali kepada kita,” kata pengurus operasi kapal angkasa di bilik kawalan misi ESA di Darmstadt, Jerman Andrea Accomazzo.

Isyarat itu adalah penanda aras terakhir Rosetta sebelum ia bertemu kembali dengan komet 67P pada musim panas. Ia kemudian akan terbang melalui beberapa siri perjalanan yang sukar untuk meninjau komet bongkah batu dan ais dengan garis pusat hampir empat kilometer itu sebelum mendaratkan robot Philae di atas permukaan berais itu November depan. Alat itu akan mengambil sampel dan melakukan analisis. 

Pakar dari Institut Penyelidikan Southwest di Boulder, Colorado, Joel Parker berkata walaupun dilancarkan hampir sedekad lalu, kelengkapan di dalam Rosetta dan Philae masih dianggap antara yang tercanggih.

Kesan komposisi komet

Institut berkenaan membangunkan kamera khusus dipanggil ALICE yang mampu mengesan kepelbagaian bahan kimia di komet berkenaan.

Nama rosetta diambil bersempena bongkah batu yang membolehkan ahli arkeologi mentafsir bahasa lambang Mesir kuno atau hiroglifik. Saintis berharap misi angkasa ini dapat membantu memahami komposisi komet dan membolehkan mereka mengetahui lebih mengenai asal usul dan evolusi sistem solar.

Komet dianggap sebagai kapsul masa terbang kerana pada dasarnya ia tidak berubah sejak 4.6 bilion tahun dulu. Saintis membuat spekulasi mengatakan komet mungkin bertanggungjawab ke atas penemuan air di beberapa planet. Seperti asteroid, komet juga secara teori berpotensi mengancam kehidupan di bumi. 

“Sejak lebih seribu tahun lalu, komet sebenarnya sudah memberi kesan terhadap evolusi kita,” kata Ketua operasi misi di Agensi Angkasa Eropah, Paolo Ferri. 
“Banyak teori mengenai komet melanggar bumi dan menyebabkan kemusnahan global. Jadi memahaminya penting untuk melihat apa yang dapat dilakukan pada masa depan bagi mempertahankan bumi dari komet.” - AP sumber