Wednesday, January 29, 2014

SYRIA - Kapal AS Bakal Tiba

Kapal tentera AS berlepas ke Itali 
 Kapal MV Cape Ray berlepas dari pelabuhan Norfolk di Virginia. - Foto AGENSI
 
Washington: Sebuah kapal tentera laut Amerika Syarikat dengan kelengkapan khas berlepas ke Itali semalam bagi misi penting memusnahkan senjata kimia paling berbahaya Syria, menurut Pentagon.

“Kapal MV Cape Ray yang berlepas dari pelabuhan Norfolk di Virginia, dijangka tiba di pelabuhan selatan Gioia Tauro dalam ‘dua atau tiga minggu,” kata jurucakap tentera Kolonel Steven Warren.
 
 Sistem hidrolisis


Kapal kargo 650 kaki (197.5 meter) itu sudah dilengkapi dua sistem hidrolisis mudah alih yang besar, direka khas bagi meneutralkan bahan kimia berbahaya Syria.

Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel menghantar sepucuk surat kepada Kapten Rick Jordan dan krew 135 orang itu dengan memberitahu mereka melakukan ‘misi bersejarah.’

“Pencapaian kamu adalah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan,” kata Hagel dalam surat yang diterbitkan Jabatan Pertahanan.

“Kamu akan memusnahkan simpanan senjata nuklear terbesar dunia di laut dan menjadikan dunia lebih selamat,” tulisnya.
Cape Ray dirancang berlepas lebih awal kelmarin tetapi masalah enjin menangguhkan pergerakan, kata pegawai rasmi.

Ia mempunyai krew 35 orang awam yang mengendalikan kapal dan 63 anggota yang bertanggungjawab mengendalikan unit hidrolisis selain pasukan keselamatan.

Jentera hidrolisis akan mencampurkan air panas dengan bahan kimia lain bagi memisahkan kimia berbahaya, menghasilkan mendakan seakan-akan sisa toksik industri.

Tahun lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong perjanjian Amerika Syarikat dan Russia akan mengeluar dan memusnahkan senjata kimia Syria.

Perjanjian itu dilakukan sebagai salah satu cara mengelakkan serangan bom Amerika Syarikat selepas serangan kimia berhampiran Damsyik, dan rejim Assad dipersalahkan berikutan kejadian itu.

Di bawah perjanjian itu, senjata kimia Syria akan dihapuskan menjelang 30 Jun. Ia akan menyaksikan bahan kimia berbahaya dineutralkan kapal Amerika Syarikat di laut, berikutan tiada negara bersedia melakukan operasi memusnahkannya. - AFP sumber

No comments: