Friday, February 14, 2014

AFGHANISTAN - 65 Taliban Dibebaskan dari Penjara

65 pejuang Taliban dibebas dari penjara  
Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA) berkawal di pintu penjara Bagram tatkala 65 tahanan yang didakwa pejuang Taliban dibebaskan semalam.
 
KABUL: Afghanistan membebaskan 65 tahanan yang didakwa sebagai pejuang Taliban semalam walaupun Amerika Syarikat membantah kerana khuatir ia memberi ancaman terhadap tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan tentera Afghanistan.

Pembebasan itu berikutan arahan presiden Hamid Karzai beberapa minggu lalu selepas kerajaan mengambil alih penjara berkenaan dari tentera AS. 
Banduan dibebaskan dari Pusat Tahanan Parwan berhampiran Lapangan Terbang Bagram, kira-kira 45 kilometer di utara Kabul pada jam 9 pagi, menurut jurucakap penjara Mejar Nimatullah Khaki.


Mereka dilihat ketawa dan tersenyum ketika menaiki bas sambil meninggalkan pusat tahanan itu, katanya.

AS menyarankan supaya tahanan diadili di mahkamah Afghanistan - berikutan bukti kukuh menerusi ujian DNA yang sekali gus mengaitkan mereka dengan beberapa siri pengeboman. Bagaimanapun, selepas pembuktian kes, Kabul mendapati tiada bukti yang kukuh untuk mensabitkan kesalahan sekali gus membebaskan tahanan dari penjara.

Karzai juga menggelar penjara Parwan sebagai “kilang menghasilkan Taliban” di mana rakyat Afghanistan yang tidak bersalah diseksa dan dihasut untuk membenci negara mereka.

Lewat Rabu, tentera Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan mengutuk pembebasan itu, sambil mendakwa tahanan ada kaitan secara langsung dengan serangan pembunuhan serta mencederakan 32 anggota NATO dan 23 Afghanistan serta orang awam.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan Mohammad Zair Azimi mengesahkan pembebasan Khamis namun enggan mengulas mengenai kebimbangan AS.

“Tanggungjawab kami adalah untuk melindungi tahanan. Itu saja,” kata Azimi melalui telefon.

Antara mereka yang dibebaskan ialah Mohammad Wali, yang didakwa AS sebagai pakar bahan letupan yang sering mensasarkan pasukan Afghanistan dan antarabangsa. Selain itu Nek Mohammad dan seorang lagi yang dikenali sebagai Ehsanullah, yang turut dikaitkan dengan beberapa siri pengeboman.

Kerajaan Karzai mengusahakan pembebasan tahanan sejak beberapa minggu lalu, yang menegangkan lagi hubungan AS-Afghanistan ketika perbincangan bagi membenarkan sebahagian tentera Amerika untuk tinggal di negara ini selepas 2014 masih tertangguh. - AFP sumber

No comments: