Wednesday, February 26, 2014

AFRIKA: Penduduk Islam diancam bunuh


Gambar bertarikh 13 Februari lalu menunjukkan, sekumpulan penduduk Islam berehat di sebuah kem pelarian sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Mpoko di Bangui, sementara menanti giliran dibawa keluar dari Republik Afrika Tengah berikutan krisis agama. - REUTERS
CARNOT, Republik Afrika Tengah 25 Feb. - Sekumpulan 800 penduduk Islam yang kini berlindung di dalam sebuah gereja di sini, berdepan ancaman bunuh oleh militan Kristian sekiranya mereka gagal meninggalkan Republik Afrika Tengah dalam tempoh masa seminggu.
Dalam kejadian semalam, kumpulan militan Kristian itu turut berkumpul di hadapan gereja tersebut dengan membawa 40 liter minyak sambil mengugut untuk membakar rumah ibadat itu.
Keadaan itu memaksa kira-kira 30 orang anggota pengaman dari Cameroon, melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan anggota kumpulan Kristian anti-Balaka tersebut.
Penduduk Islam yang mendapatkan perlindungan di gereja itu merupakan penduduk Kampung Guen, kira-kira 100 kilometer dari Carnot, yang melarikan diri setelah kumpulan anti-Bakala menyerang penempatan mereka sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang penduduk terbunuh, awal bulan ini.
Sebelum ini, penduduk Islam dan Kristian yang tinggal di Carnot hidup dalam keadaan aman damai, sehinggalah kumpulan pemberontak Muslim Seleka menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden, Francois Bozize pada Mac tahun lalu.
Kumpulan pemberontak itu, dipersalahkan atas kejadian pembunuhan beramai-ramai penganut Kristian dan kekacauan yang berlaku di negara ini.
Menurut seorang paderi, Rigobert Dolongo yang membantu mengebumikan mayat-mayat berkenaan, kumpulan anti-Balaka melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti membunuh penduduk kampung berkenaan dengan kejam.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan hari pertama dan 43 orang lagi pada hari kedua.
Seorang saksi kejadian, Ibrahim Aboubakar, 22, berkata, anggota kumpulan anti-Balaka menyerang Kampung Guen dan membunuh dua orang abangnya, selepas anggota kumpulan tersebut mendengar mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Arab.
"Selepas kejadian itu, kumpulan berkenaan mengumpulkan berpuluh-puluh orang dan memaksa mereka untuk baring sebelum bertindak menembak mereka satu persatu,’’ jelas Ibrahim.
Sementara itu, dua orang penduduk Islam yang enggan mendedahkan nama mereka atas faktor keselamatan mendakwa, penduduk yang masih berada di Kampung Guen bertindak menelefon pasukan pengaman Afrika di sini, untuk segera membantu menyelamatkan mereka dan menegaskan bahawa tentera anti-Balaka yang lengkap bersenjata masih mengawal kampung ini, hari ini. - AGENSI

No comments: