Friday, February 21, 2014

AFRIKA TENGAH - Pengganas Kristian Bertempur dengan Pengaman


DUA anggota tentera Perancis, berkawal di atas sebuah kereta perisai di pusat pemeriksaan di kawasan digelar PK12 di Bangui, Republik Afrika Tengah, kelmarin. - AFP
BANGUI 20 Feb. - Konflik keganasan agama di Republik Afrika Tengah (RAT) semakin meruncing apabila pasukan pengaman antarabangsa bertempur dengan kumpulan militia Kristian berdekatan sebuah lapangan terbang di sini, semalam.

Letupan serangan artileri turut kedengaran seawal pagi di lapangan terbang di Bangui yang menjadi lokasi pangkalan tentera Afrika dan Perancis memerangi militia anti-Balaka yang mengganas di kawasan penempatan penduduk Islam.

Menurut laporan wartawan AFP, serangan kumpulan terbabit hampir mengenai pintu masuk lapangan terbang yang dikawal oleh sejumlah askar Perancis.

Pertempuran turut dilaporkan berlaku di kawasan penempatan Boy-Rabe yang merupakan kubu kuat kumpulan anti-Balaka di utara bandar ini.

Sumber hospital melaporkan, dua orang disahkan terbunuh dan kira-kira 40 lagi mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Bangui.

Kumpulan anti-Balaka yang berkubu berhampiran lapangan terbang terbabit, mula mensasarkan tentera Kesatuan Afrika yang diketuai pasukan pengaman MISCA sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, kira-kira 300 penduduk berkumpul beberapa ratus meter daripada pangkalan tentera antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap askar Afrika dan Perancis.

Malah, sesetengah penduduk tempatan bertindak mendirikan penghadang jalan di sekitar lapangan terbang sebagai usaha menghalang operasi pasukan pengaman antarabangsa yang disokong tentera Perancis memerangi kumpulan milita.

Bagaimanapun, pasukan tentera antarabangsa membersihkan penghadang terbabit tidak lama kemudian. - AFP

No comments: