Thursday, February 27, 2014

AS Bakal Berundur dari AFGHANISTAN

Foto Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel (membelakangkan kamera) berucap kepada tentera Amerika Syarikat di Kem Bastion, Agfhanistan 8 Disember tahun lalu. - Foto AP
Tindakan selepas Presiden Hamis Karzai enggan tandatangan perjanjian

WASHINGTON: Presiden Barack Obama kelmarin memaklumkan kepada Presiden Afghanistan, Hamid Karzai bahawa beliau merancang pengunduran penuh tentera Amerika Syarikat.

Rancangan itu dibuat selepas pemimpin berkenaan enggan menandatangani Perjanjian Keselamatan Dua Hala (BSA) dengan Washington.
 
 Obama bagaimanapun tidak menyatakan sebarang perjanjian berkaitan misi selepas 2014 dengan kerajaan Kabul selepas itu.


Kenyataan Rumah Putih melaporkan Obama yang bercakap dengan Karzai melalui telefon memberitahu bahawa Pentagon mempunyai pilihan terhad kecuali berundur sepenuhnya.

“Presiden Obama memberitahu Presiden Karzai mengenai rancangan itu selepas beliau enggan menandatangani BSA dan Washington perlu meneruskan rancangan sokongan,” kata kenyataan itu.

“Pastinya, Presiden Obama sudah meminta Pentagon memastikan ia mempunyai rancangan cukup bagi melaksanakan pengunduran yang lancar menjelang akhir tahun ini, jika Amerika Syarikat merancang untuk tidak menempatkan tentera di Afghanistan selepas 2014.”

Rumah Putih sebelum ini mengingatkan keengganan Karzai menandatangani perjanjian yang dicapai menerusi rundingan sukar pada tahun lalu akan memaksa Washington memulakan pengunduran sepenuhnya.
Walaupun Karzai enggan menandatangani BSA, masih ada sebilangan calon pilihan raya negara itu menyatakan hasrat untuk menandatanganinya.

BSA menawarkan perlindungan undang-undang kepada tentera Amerika Syatikat dan menggariskan misi menentang keganasan pasca-2014.

Kenyataan itu menyatakan Obama masih menunggu untuk “kemungkinan memuktamadkan BSA dengan Afghanistan lewat tahun ini”, jika beliau dapat mencari rakan kerjasama dalam kerajaan Afghanistan yang baru.

Ia adalah petunjuk paling jelas bahawa Washington sanggup menunggu proses pilihan raya Afghanistan sebelum membuat keputusan akhir mengenai masa depan Afghanistan.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengingatkan “semakin lama BSA tergantung, pelaksanaan misi AS akan menjadi semakin mencabar untuk dirancang dan dilaksanakan,” menurut White House.

“Selain itu, semakin lama BSA tidak dimuktamadkan, terdapat kemungkinan misi AS selepas 2014 mempunyai skala dan matlamat lebih kecil.”

Kenyataan itu jelas menunjukkan sikap Karzai dan kemahuan beliau memegang kuasa untuk tempoh beberapa bulan terakhir mandatnya yang hanya akan menjejaskan keselamatan negara itu pada masa depan. - REUTERS

sumber

No comments: