Wednesday, February 5, 2014

AS Benarkan Pemindahan Hasil Minyak IRAN

Washington: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat kelmarin mengesahkan bahawa ia membenarkan pemindahan AS$550 juta (RM1.83 bilion) daripada pendapatan minyak Iran yang dibekukan di bawah perjanjian sementara nuklear.

Jurucakap Perbendaharaan Amerika Syarikat berkata pemindahan itu bermula 31 Januari dan selesai awal minggu ini. Namun, ia tidak memperincikan bank luar negara yang terbabit melaksanakannya.

 Kenakan sekatan

Tiada bank Amerika Syarikat yang terbabit dalam transaksi, tetapi Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan meluas terhadap Iran berikutan program nuklear negara itu, menghulurkan bantuan dalam pemindahan wang itu, menurut jurucakap itu.

Wang itu adalah ansuran pertama AS$4.2 bilion (RM14.01 bilion) dalam bentuk dana minyak dibekukan, yang diberikan kepada Iran di bawah perjanjian nuklear yang ditandatangani pada November. Iran menerima pelepasan sekatan terhad sebagai tukaran kepada persetujuannya untuk membendung aktiviti nuklear.

Iran menyambut baik kebanyakan wakil dagangan kanan Perancis, kelmarin dengan memberitahu lebih 100 eksekutif bahawa yang berpandangan jauh akan meraih perniagaan berikutan pelepasan beberapa sekatan ekonomi.

Pelepasan sekatan komersial ini meningkatkan selera firma Perancis yang bersungguh memenangi semula perniagaan di negara pengeluar minyak itu dengan penduduk seramai 80 juta, yang sebelum ini mempunyai industri minyak besar.
“Satu lembaran baru hubungan antara Iran dan Eropah sudah bermula,” kata Mohammad Nahavandi, ketua kakitangan Presiden Hassan Rouhani, yang dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Tak tolak peluang

“Kamu patut menyampaikan mesej ini untuk potensi kerjasama dengan perjanjian Iran dan tidak menolak peluang ini,” katanya kepada wakil yang hadir.

“Mereka yang berpandangan jauh akan memenangi perlumbaan ini.” Lebih 100 eksekutif daripada persatuan majikan Perancis, MEDEF yang menyertai lawatan daripada 2 hingga 5 Februari itu menemui Nahavandi dan ahli Dewan Perniagaan, Industri, Perlombongan dan Pertanian Iran,” kata IRNA. - REUTERS sumber

No comments: