Thursday, February 27, 2014

BRUNEI - Sultan Murka Kritikan Media

Sultan Brunei murka kritikan media sosial   Sultan Hassanal Bolkiah
Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menyuarakan kemurkaan dan mengarahkan pengguna media sosial berhenti mengkritik rancangan beliau untuk memperkenalkan undang-undang syariah di negara itu.

Hassanal, salah seorang individu terkaya dunia pada, Oktober lalu mengumumkan bahawa Brunei akan melaksanakan undang-undang syariah seperti sebatan, pemotongan anggota badan serta hukuman rejam sampai mati mulai 1 April ini.
 
 Tindakan cetus kritikan

Tindakan itu mencetuskan kritikan daripada media sosial, satu-satunya kaedah rungutan awam membabitkan pihak berkuasa negara itu dengan tindakan mempersoalkan Sultan dielakkan.

Dalam titah ucapan hujung minggu lalu, Hassanal memberi amaran keras kepada pengkritik beliau.

“Mereka tidak boleh dibenarkan melakukan penghinaan ini tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke mahkamah, mereka akan menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah Kanun Keseksaan Syariah pada April,” katanya menurut salinan ucapan yang diterbitkan media kerajaan.
Beliau tidak memperincikan bagaimana pengguna media sosial boleh didakwa di bawah undang-undang Islam itu. Sultan kekal sebagai individu amat dihormati di negara 400,000 penduduk itu yang menikmati taraf hidup tertinggi di Asia.

Bagaimanapun, beberapa minggu lalu perdebatan internet berlaku membabitkan penyokong undang-undang berkenaan dan mereka yang amat bimbangkan pelaksanaannya.

“Amat menakutkan untuk memikirkan kami mungkin direjam dengan batu sehingga mati kerana menyintai atau didenda kerana meminati sesama jantina dan pakaian kami turut dikawal,” kata satu kiriman internet.

Brunei mempunyai penggunaan dan kadar penembusan media sosial terbesar dunia. Undang-undang syariah memperuntukkan hukuman mati kepada zina, potong tangan kerana mencuri serta sebatan dalam kesalahan seperti pengguguran, minum arak dan homoseks.

Negara itu melaksanakan ajaran Islam konservatif berbanding jiran Islamnya, iaitu Malaysia dan Indonesia dengan mengharamkan jualan arak dan mengehadkan agama lain.

Ia juga mempunyai dua sistem perundangan, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang mengendalikan kes perkahwinan, pewarisan harta dan banyak isu kecil lain. - AFP sumber

No comments: