Thursday, February 20, 2014

INDONESIA - Kebakaran Hutan Semakin Meluas

Jakarta: Bilangan kawasan panas membabitkan kebakaran hutan, ladang dan paya gambut di Riau dilaporkan mencecah kepada 256 semalam, lebih dua kali ganda berbanding hari sebelumnya yang mencatatkan 126 kawasan.

Daripada sejumlah 281 kawasan panas yang dikesan di seluruh Pulau Sumatera sebanyak 256 didapati di Riau, kata Ketua Agensi Geofizik, Iklim dan Meteorologi Pekanbaru, Slamet Riyadi yang dipetik Antara.
Data terbabit adalah berdasarkan catatan hingga 7 pagi semalam (Rabu) waktu tempatan, katanya.


Kurang hujan

Daripada sejumlah 256 kawasan panas di Riau itu, 94 daripadanya ditemui di wilayah Bengkali, 32 di Meranti, 26 di Indragiri Hilir, 34 di Pelalawan, 52 di Siak, 10 di Rokan Hilir, tujuh di Dumai dan satu di Kampar.

Slamet meramalkan bilangan kawasan panas di Riau masih tinggi sepanjang minggu akan datang disebabkan kurangnya hujan.

“Biasanya jerebu berlaku pada Mei atau Jun. Tetapi tahun ini, jerebu nampaknya bermula pada Januari dan Februari di Riau dan Barat Kalimantan,” kata jurucakap agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, Sutopo di Jakarta, baru-baru ini.
Jerebu tebal menyebabkan kurangnya kadar jarak penglihatan yang menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kassim II di Pekanbaru, Riau, pagi semalam.

Kelewatan penerbangan pertama adalah membabitkan pesawat Silk Air dari Singapura ke Pekanbaru.

“Penerbangan dijadualkan tiba di lapangan terbang ini pada jam 8 pagi tetapi ditangguhkan berikutan kadar penglihatan hanya 800 meter,” kata timbalan pengurus lapangan terbang, Ibnu Hasan yang dipetik Antara. sumber

No comments: