Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan yang terjejas di lokasi kebakaran hutan yang berlaku di kawasan seluas kira-kira 60 hektar berdekatan Tasik Banding yang dilaporkan berlaku petang semalam.
 
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Yahaya Madis, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri menghantar pegawai dan anggota bagi melaksanakan operasi bersepadu mengawal kebakaran daripada terus merebak.  "Lokasi sukar untuk dimasuki kerana faktor muka bumi dan jika pasukan memasuki kawasan itu secara terus ia mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk sampai.

"Jadi kami perlu meneroka jalan baru terlebih dulu bagi membolehkan kami sampai ke lokasi kebakaran secepat mungkin," katanya ketika dihubungi.

  Katanya, bomba juga terpaksa menggunakan bot meninjau lokasi dan mencari jalan alternatif yang paling hampir bagi memastikan operasi memadam kebakaran dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata,  seramai 187 pegawai dan anggota daripada empat zon dari seluruh negeri sudah dikerahkan untuk melaksanakan operasi itu dan berkumpul di bilik gerakan yang dibuka mulai di Balai Bomba dan Penyelamat Gerik.