Friday, February 28, 2014

MALAYSIA - Polis Pantau Pertemuan Pemimpin Sulu

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau pertemuan pemimpin kanan ‘Kesultanan Sulu’ yang dikatakan akan ke Sabah kononnya untuk membincangkan tuntutan ke atas Negeri di Bawah Bayu itu.

Berdasarkan maklumat diterima PDRM, pemimpin itu dipercayai akan tiba di Sabah dalam masa terdekat untuk bertemu ‘individu berkepentingan’ bagi membincangkan isu berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata maklumat dan risikan polis mendapati pemimpin itu akan ke Sabah dalam beberapa hari lagi tetapi enggan mendedahkan identiti ‘individu berkepentingan’ terbabit.


“Kita akan memantau pertemuan itu dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia mengancam keselamatan negara mengikut undang-undang sedia ada,” katanya selepas majlis ramah mesra dengan bekas pegawai kanan polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Khalid berkata, pihaknya turut mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya membangkitkan isu ancaman ‘tentera diraja Sulu’ dan pembabitan warga Filipina dalam kes penculikan di Sabah kepada Presiden negara itu, Benigno S Aquino III, yang berada di negara ini sempena lawatan dua harinya bermula semalam.

“PDRM mencadangkan Perdana Menteri membincangkan isu keselamatan negara ini dengan Presiden Filipina bagi dicari jalan penyelesaian,” katanya.

Kawal keselamatan pesisir pantai
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, pasukan Polis Marin akan kembali mengawal keselamatan pesisir pantai negara atas persetujuan Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan tidak mengehadkan tugas polis dalam mengawal keselamatan negara, termasuk membabitkan perairan negara.

“Kerajaan membenarkan PDRM mengawal pesisir pantai negara bagi memudahkan polis melaksanakan rondaan dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya. sumber

No comments: