Thursday, February 20, 2014

MALAYSIA - Taubatlah Wahai Anti-Hadith

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil tindakan terhadap Dr Kassim Ahmad kerana mempertikai hadis yang boleh membawa kekeliruan umat Islam di negara ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata pihaknya memandang serius isu itu dan tindakan akan diambil berdasarkan kepada peruntukan udang-undang.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk memanggil Kassim bagi memberi penjelasan terhadap dakwaan yang dibangkitkan pada seminar itu kerana boleh menjejaskan akidah umat Islam.


Pemikiran salah

“Memandangkan pemikiran Kassim ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah wajar umat Islam di negara ini menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu seumpama ini.

“Ia boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam.

“Islam menyeru umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah-belah kerana ia merugikan masyarakat itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian mengundang kontroversi apabila mempertikai hadis, selain meletakkan ulama Islam setaraf dengan kasta paderi Kristian.

Selain itu, Kassim pada sesi seminar mempertikai dua kalimah syahadah sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW, selain mempersoal rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab.

Sementara itu, Pengarah JAWI, Paimuzi Yahya dalam kenyataan menjelaskan pihaknya mengambil tindakan terhadap Kassim dengan membuka kertas siasatan.

“JAWI sedang mengenal pasti beberapa orang saksi yang menghadiri seminar berkenaan di Putrajaya pada 15 hingga 16 Februari lalu. Saya menasihati orang ramai supaya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menanganinya.

Henti provokasi

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menghentikan sebarang provokasi bagi mengelak tercetusnya suasana yang boleh menggugat keharmonian,” katanya.

Di Ipoh, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria mengingatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan ucapan Kassim kerana mengandungi pemikiran yang boleh merosakkan akidah dan membawa kepada murtad.

“Saya menyeru Kassim dan mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat dan tidak terpengaruh dengan ucapannya yang terang-terangan bercanggah dengan asas ajaran Islam sebenar,” katanya. sumber

No comments: