Wednesday, February 26, 2014

MYANMAR: Dasar Nasaka kawal pergerakan, kehidupan etnik Rohingya

YANGON 25 Feb. - Kerajaan Myanmar didakwa mengamalkan dasar yang menafikan hak penduduk Islam Rohingya termasuk mengenakan langkah mengawal penduduk dan sekatan ke atas pergerakan mereka, jelas satu laporan, hari ini.

Laporan yang diedarkan oleh sebuah pertubuhan hak asasi manusia Fortify Rights, yang beribu pejabat di Asia Tenggara itu, turut menekankan dasar diskriminasi lain yang dikenakan ke atas etnik Rohingya termasuk sekatan untuk berkahwin, kelahiran anak dan pembinaan rumah-rumah ibadat.

Kumpulan itu dalam laporannya setebal 79 muka surat menyatakan, ‘Dasar Penindasan’ tersebut diterbitkan hasil 12 dokumen-dokumen rasmi yang bocor dan satu semakan tentang maklumat mengenai penindasan terhadap Rohingya yang pernah didedahkan.

Pengarah Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith berkata, kesan sekatan-sekatan itu agak teruk dan telah didokumenkan dengan baik selama beberapa dekad, tetapi arahan kerajaan itu telah disimpan daripada diketahui awam.

Laporan itu sebagai contoh menunjukkan satu dokumen kerajaan yang menyatakan penduduk Rohingya Islam yang berkahwin mesti ‘mengehadkan jumlah anak dalam usaha mengawal kadar kelahiran supaya mereka akan cukup makan dan tempat berlindung’.

Pasukan keselamatan Myanmar menurut pertubuhan itu juga, diberi kuasa oleh pegawai kerajaan untuk melakukan pemeriksaan ke atas kediaman penduduk Rohingya dan mengesahkan wanita adalah ibu kepada anak yang dilahirkan.

Sementara itu, jurucakap bagi negeri Rakhine, Win Myaing memberitahu Wall Street Journal bahawa sekatan ‘bagi pengawalan jumlah penduduk, perkahwinan dan kadar kelahiran’ dilaksanakan di bawah dasar ‘Nasaka’. satu kuasa keselamatan sempadan kontroversi ditubuhkan pada tahun 1992, kebanyakannya bagi mengawal pergerakan keluar masuk antara Bangladesh dan Myanmar.

Dasar Nasaka kata Myaing, melarang penduduk Rohingya daripada bergerak antara kampung, namun dasar itu membenarkan mereka yang mempunyai Kad Pendaftaran Asing untuk bergerak secara bebas.
Dasar Nasaka ditarik balik oleh Presiden Myanmar, Thein Sein, Julai tahun lalu, bagaimanapun kumpulan hak asasi menegaskan, amalan diskriminasi itu masih berlaku.

No comments: