Saturday, February 1, 2014

SYRIA - Rumah Penduduk Diceroboh

BEIRUT 30 Jan. - Kerajaan Syria didakwa menggunakan bahan letupan dan jentolak untuk merobohkan beribu-ribu bangunan kediaman, tindakan yang dilancarkan sebagai hukuman kerana orang awam menyokong penentang kerajaan.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) menerusi laporan 38 muka suratnya, tindakan itu diambil di antara Julai 2012 dan Julai tahun lalu di tujuh daerah yang menyokong penentang kerajaan.

Antara kawasan penempatan terbabit adalah Masha al-Arbayeen dan Wadi al-Jouz di Hama, Qaboun, Tadamoun, Barzeh dan Lapangan Terbang Tentera Mezzeh di Damsyik serta Harran al-Awamid.
"Tindakan kejam memusnahkan keseluruhan kawasan perumahan bukanlah satu taktik perang.
"Perlakuan itu merupakan antara kejadian terbaharu dalam senarai jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Syria,'' kata penyelidik kecemasan HRW, Ole Solvang.

HRW menjelaskan, kebanyakan bangunan yang dirobohkan merupakan rumah pangsa, mengakibatkan beribu-ribu keluarga kehilangan tempat tinggal akibat tindakan tersebut.

Kumpulan hak asasi itu memberitahu, pegawai kerajaan dan media menyatakan tindakan tersebut merupakan sebahagian pembangunan bandar atau usaha memusnahkan bangunan dibina secara haram.
Menurut HRW lagi, berdasarkan siasatan mereka, tindakan merobohkan bangunan tersebut diselia oleh tentera.

"Biasanya, lokasi terlibat merupakan kawasan yang diduduki penyokong penentang kerajaan,'' katanya. - AGENSI

No comments: