Thursday, February 20, 2014

TURKI Sekat Twitter

Ankara: Presiden Turki, Abdullah Gul kehilangan beribu pengikut Twitter selepas beliau menandatangani undang-undang kontroversi, yang diluluskan Parlimen bagi melaksanakan kawalan terhadap laman web di negara itu.

Gul yang turut kerap menggunakan media sosial, kehilangan 80,000 pengikut selepas beliau menghantar kiriman Twitter lewat Selasa, menyatakan beliau sudah meluluskan undang-undang itu.
 
 Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan kepadanya bahawa ia akan mengurangkan ketegasan dua peruntukan dalam undang-undang itu, yang disifatkan pembangkang dan kumpulan hak asasi mengganggu kebebasan warganya.


“Saya sedar masalah utama adalah mengenai dua hal, kebimbangan ini akan diambilkira dalam undang-undang baru,” kata Gul, yang masih mempunyai 4.3 juta pengikut Twitter.

Cetus kemarahan

Namun, tindakan itu mencetuskan kemarahan dalam Twitter.

“Selamat pagi / perkara pertama perlu dilakukan hari ini #tinggalkan@cbabdullahgul,” kata seorang pengguna Twitter dengan nama mevan.
“Presiden Gul luluskan undang-undang internet. Selamat datang ke era penapisan Internet,” kata @tanikunal.

@zuhalayla menulis: “Gul meluluskan undang-undang penapisan internet di Turki. Kebebasan bersuara dalam keadaan lebih teruk berbanding sebelum ini”. Undang-undang baru itu mencetuskan kemarahan dalam dan luar negara.

Ia menimbulkan kebimbangan keadaan demokrasi di bawah Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan bagaimanapun menafikan tuduhan penapisan internet dan menyatakan pengguna internet Turki yang majoritinya Islam sudah mencecah 34 juta daripada 20,000 sejak 2002.

Sekat laman web

Di bawah peraturan baru itu, Pentadbir Komunikasi Telekomunikasi (TIB) boleh mengarahkan penyedia perkhidmatan menyekat laman tertentu yang dianggap menghina atau mengganggu privasi.

Namun, kerajaan kini mencadangkan TIB perlu memaklumkan kepada hakim terhadap sebarang keputusan untuk menyekat laman web. Hakim akan mengeluarkan perintah dalam 48 jam atau tindakan TIB dianggap tidak sah.

Pemimpin berkuasa Turki sejak 2003, Erdogan secara terbuka meragui internet, dengan menyifatkan Twitter ‘mengganggu’ kerana membantu tunjuk perasaan di seluruh negara pada Jun, yang menyaksikan enam terkorban dan beribu cedera.
AFP sumbe

No comments: