Friday, March 21, 2014

AFGHANISTAN - 10 Polis Maut, 14 Cedera

Tujuh pengebom berani menyerang balai polis di tengah bandar Jalalabad di timur Afghanistan semalam, mengorbankan 10 anggota polis dan seorang awam dalam satu serangan besar-besaran sebelum pilihan raya presiden. 

“Antara polis yang terbunuh itu ialah ketua polis daerah, manakala 14 lagi anggota polis cedera,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohammad Ayoub Salangi kepada AFP. Semua tujuh pengebom berani mati itu juga terbunuh. 


Sasaran balai polis 

Sasaran serangan bom dan tembakan tiga jam adalah balai polis berhampiran rumah gabenor di bandar itu. Ia menjadi lokasi serangan berulang kali oleh militan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Taliban berikrar melakukan keganasan untuk mengganggu pilihan raya pada 5 April, dan jurucakap pemberontak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan awal pagi itu. 

Jurucakap kementerian dalam negeri, Sediq Sediqqi pula berkata, seorang daripada dua penyerang berjaya memasuki bilik kecil dalam balai polis sebelum dibunuh pasukan keselamatan. 
Jurucakap Taliban, Zabuillah Mujahid berkata, serangan bermula apabila trak kecil yang dipenuhi bom diletupkan dekat pintu masuk balai polis berkenaan. 

Serpihan bertaburan 

Letupan menyebabkan serpihan bertaburan di jalan raya sekeliling lokasi dan pasukan keselamatan kemudian melakukan kawalan. 

Ketua doktor Hospital Jalalabad, Homayoun Zaheer memaklumkan 20 sudah dirawat akibat kecederaan disebabkan letupan itu. 

Kawasan serangan termasuk dalam halaman bangunan pejabat gabenor wilayah Nangarhar, beberapa bangunan kerajaan lain serta stesen televisyen kendalian kerajaan. 

Sepuluh hari lalu, pemimpin Taliban berikrar untuk mensasarkan pilihan raya presiden. Mereka menggesa pejuang menyerang kakitangan pilihan raya, pengundi dan pasukan keselamatan sebelum pilihan raya bagi memilih pengganti Presiden Hamid Karzai. 

Pilihan raya Afghanistan sebelum ini dilanda keganasan dengan 31 orang awam serta 26 askar dan polis terbunuh pada hari pengundian pada 2009. Militan Islam itu berbuat demikian untuk menyatakan tentangan terhadap pilihan raya diterajui Barat. 

Selasa lalu, seorang pengebom berani mati membunuh 16 orang di pasar yang penuh sesak di wilayah Faryab di utara. Tiada yang mendakwa bertanggungjawab terhdap serangan itu. 

NATO keluar Afghanistan 

Tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) akan keluar meninggalkan negara itu selepas berada di negara itu selama 13 tahun dalam membantu menangani kebangkitan pejuang Islam selepas Taliban digulingkan daripada kerajaan selepas peristiwa serangan 9/11 ke atas Amerika Syarikat. 

Karzai, yang dilarang daripada bertanding bagi jawatan untuk penggal ketiga berkata, Afghanistan akan mengadakan pilihan raya yang selamat dan bersih, meskipun berlkau keganasan sebelum ini dan dakwaan penipuan ketika dia memenangi pilihan raya lima tahun lalu. - AFP sumber

No comments: