Sunday, March 30, 2014

AFRIKA TENGAH - Minoriti Islam Terus Tertekan

Bangui: Ribuan penduduk di penempatan terakhir masyarakat Islam di ibu negara Republik Afrika Tengah kerap berdepan serangan. Kehidupan mereka tidak terjamin kekal selamat dan aman di Bangui ibu negara republik itu, mahupun sekiranya hendak berpindah ke tempat lain.

Sejak sejak 22 Mac 2014, pejuang anti-balaka dan yang lain-lain yang berpakaian tentera negara itu sudah membunuh sekurang-kurangnya lapan penduduk Islam dan mencederakan ramai lagi.

Kerajaan dengan sokongan tambahan daripada masyarakat antarabangsa perlu bertindak ke atas pihak yang bertanggungjawab dalam serangan itu dan meningkatkan usaha untuk mewujudkan suasana kehidupan selamat bagi penduduk Islam golongan minoriti negara itu. Kesatuan Eropah perlu bertindak segera melaksanakan ikrar untuk meningkatkan usaha mewujudkan keamanan.


“Ramai penduduk berasakan bagai terperangkap – tidak boleh untuk terus tinggal di situ dan juga tidak boleh berpindah ke tempat lain,” kata pengarah Pemantauan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philippe Bolopion. “Mereka terdedah kepada risiko terperangkap atau diserang di jalanan jika mereka cuba pergi ke kawasan penempatan lain atau mahu berpindah keluar dari Bangui.”

Penduduk Islam sudah bertaburan sejak pejuang anti-balaka menyerang kubu kuat pejuang Seleka yang sebahagian besarnya adalah orang Islam di Bangui pada 5 Disember 2013. Tentera antarabangsa di ibu negara itu perlu meningkatkan kawalan keselamatan khususnya di sekitar kawasan penempatan Kilometer 5 dan PK 12 serta menyediakan kawalan kepada penduduk yang mahu meninggalkan bandar itu bersama harta benda mereka.

Pejuang anti-balaka mahu membalas dendam terhadap serangan ganas ke atas gabungan Seleka yang mengambil alih kepemimpinan negara melalui rampasan kuasa pada Mac 2013 sebelum digulingkan kemudiannya pada 20 Januari 2014. Pejuang anti-balaka menyerang beberapa kali penempatan Kilometer 5 pada 22 Mac dan dalam satu daripada serangan itu mereka membunuh empat lelaki termasuk anak dan abang kepada datuk bandar penempatan itu, Atahirou Balla Dodo. Saudara mara datuk bandar kemudian menyertai penduduk lain membalas serangan berkenaan. sumber

No comments: