Saturday, March 1, 2014

INDONESIA - Pulau Misteri Muncul di Jawa

Pandangan dari jauh sebuah pulau misteri yang baru terbentuk di Bekasi, Indonesia. - AGENSI
 
BEKASI - Sekumpulan nelayan di Jawa Barat gempar setelah menemui sebuah pulau baharu di tengah-tengah laut di perairan Bekasi, Indonesia baru-baru ini.

Menurut laporan berita di laman web Yahoo.com, fenomena aneh itu berlaku apabila satu timbunan tanah didakwa secara tiba-tiba muncul dan membentuk daratan baharu sepanjang dua kilometer dan lebar 15 meter.

Pulau itu terletak dua kilometer dari pinggir pantai kawasan Desa Pantai Sederhana, daerah Muaragembong di sini.

Berikutan penemuan pulau itu, ia kini menjadi kunjungan ramai orang dari kawasan berhampiran yang datang ke pulau tersebut dengan menaiki perahu yang mengambil masa satu jam perjalanan.
Ketua Kampung Muaragembong, Rubci, berkata, fenomena itu pertama kali berlaku di sekitar pantai di utara Bekasi.

Katanya, pulau itu dipercayai terbentuk daripada timbunan tanah yang dibawa air sungai ke laut ekoran kejadian banjir besar yang berlaku di daerah tersebut baru-baru ini.

"Dakwaan itu adalah hanya andaian saya sahaja. Ia belum dibuktikan sah lagi. Adakah benar pulau itu terjadi hasil daripada pasir yang dihanyutkan air," katanya kepada akhbar Tempo baru-baru ini.

Jelasnya lagi, seluruh permukaan pulau itu terdiri daripada pasir hitam bercampur kerang kecil, malah struktur pulau tersebut terbentang luas dan membentuk garisan melengkung ke arah laut.

Sementara itu, Ketua Kampung di Desa Pantai Sederhana, Karih Nuryanto berkata, kewujudan pulau tersebut masih belum dimaklumkan kepada pihak berkuasa bandar Bekasi.

"Mungkin kami akan buat laporan kepada pihak berkuasa pada minggu hadapan," ujarnya. sumber

No comments: