Sunday, March 30, 2014

MESIR - Tahanan Diseksa dan Dicabul!

KAHERAH: Pukulan teruk, salah laku seks dan renjatan elektrik dilakukan ke atas tahanan termasuk kanak-kanak dan remaja di Mesir, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), berdasarkan maklumat yang dikumpulkannya.

Sekurang-kurangnya 20,000 orang sudah ditangkap sejak Julai lalu bagi membendung penentangan terhadap kerajaan sementara yang disokong tentera. Semakin ramai muncul dari balai polis dan penjara dengan dakwaan seksaan yang serius.
Maklumat itu walaupun tidak dapat disahkan, selari dengan laporan kumpulan hak asasi yang menyatakan bahawa tahanan di penjara Mesir didera dan disiksa.


“Nampaknya Mesir sudah kembali semua ke zaman Mubarak yang terbabit dengan penderaan secara sistematik. Lebih banyak penyeksaan dilakukan sekarang kerana semakin ramai yang ditahan. Apa yang berbeza ialah tahap kekejaman yang semakin dahsyat,” kata anggota kumpulan aktivis Rangkaian Arab Bagi Maklumat Hak Asasi, Gamal Eid.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan kerajaan sementara yang diterajui tentera.
Bagi Ahmed Abdel Fattah, 15, minat terhadap telefon bimbit menyebabkan beliau kehilangan kebebasannya.

“Mereka menangkap saya dan ketika soal siasat saya dikenakan renjatan elektrik mmenyebabkan saya pengsan,” katanya.
Beliau menggunakan telefon untuk merakam tunjuk perasaann dekat rumahnya di wilayah Sharquiya, utara Kaherah.

“Saya curiga. Kenapa saya tidak boleh merakamkan apa yang selalu dipaparkan setiap malam di televisyen?”

Apabila samseng tempatan cuba merampas telefon bimbitnya Ahmed enggan menyerahkannya.

Mereka menyerahkan remaja terbabit kepada polis.
Ahmed berkata itulah permulaan penyeksaan ke atas dirinya selama 34 34 hari di balai polis.

Ahmed berkata, beliau menjadi tumpuan polis, walaupun masih muda kerana disyaki menjadi penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan.

“Mereka mahu saya berasa takut. Mereka menyangka saya mempunyai banyak maklumat. Saya bukannya daripada Ikhwanul Muslimin. Mereka berkata mengenai dana luar, mempunyai senjata dan saya yang mendapatkan senjata untuk kumpulan itu.
Yassin Mohammed, 19, antara penunjuk perasaan pro-demokrasi yang ditangkap di Kaherah Januari lalu dan ditahan selama 42 hari.

“Saya sangka ketika soal-siasat mereka akan belasah saya seperti sebelum ini. Saya terkejut apabila seorang penyiasat melucutkan seluar dan meletak wayar di paha saya. Saya menjerit dan meraung,” katanya dengan tangan yang masih menggigil.

Yassin juga berkata beliau didera secara seksual, tetapi enggan menceritakan lebih lanjut akibat terlalu trauma. - AGENSI sumber

No comments: