Saturday, March 1, 2014

SYRIA - Pelarian PALESTIN Di Ambang Maut

Foto Penduduk berbaris menanti makanan diagihkan oleh UNRWA di kem pelarian Palestin di Yarmouk.
Ribuan penghuni kem Yarmouk diancam kebuluran akibat sekatan Syria

BEIRUT: Susuk badan cengkung, kurus dan air muka hiba memenuhi jalan sejauh mata memandang di kem pelarian Palestin, Yarmuk di luar Damsyik, apabila sejumlah 40,000 sedang diancam kebuluran.

Imej beribu-ribu orang dengan wajah cengkung yang diedar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini agak mengejutkan, mereka kelihatan terdesak untuk menerima bantuan makanan yang hanya berjaya diperoleh pelarian yang bertuah.
 
 “Kami hidup dalam penjara yang besar, kata Rami al-Sayed, aktivis Syria yang tinggal di Yarmuk ketika bercakap kepada AFP melalui internet.


“Tetapi sekurang-kurangnya, dalam penjara, anda ada makanan. Di sini, tiada apa-apa. Kami umpama mati perlahan-lahan.”

“Kadang-kadang, ramai kanak-kanak yang merayu di jalan-jalan menarik tangan saya sambil merayu dengan berkata: ‘Demi cinta kepada Allah, kami mahu makan, berilah kami makanan.’ Namun sudah pasti, saya tidak ada makanan untuk diberikan kepada mereka,” kata Sayed.

Selepas peperangan dan tembak menembak sekitar Yarmuk yang sudah berbulan-bulan lamanya antara pemberontak dan pasukan Presiden Bashar al-Assad, bilangan penghuni kem mula menyusut daripada lebih 150,000 kepada 40,000 saja, termasuk 18,000 warga Palestin.

Sejak musim panas lalu, kawasan ini di bawah kepungan tentera, menyebabkan penghuninya hidup dalam suasana yang cukup perit.
“Kami meneruskan hidup dengan memakan herba, tapi herba ini pahit. Haiwan pun tidak sanggup memakannya,” kata Sayed.

“Jika anda ke kebun untuk mengambil herba untuk memasak sup, nasib tidak baik anda ditembak pula oleh penembak curi.” “Keadaan ini benar-benar tragik.
Di jalan-jalan, semua yang anda lihat adalah orang kurus, hanya sisa kehidupan terpancar di wajah mereka. Kesedihan di mana-mana,” kata Sayed.

Malah pihak Bantuan dan Kerja Agensi PBB (UNRWA) bagi rakyat Palestin tersentuh dengan situasi itu.

Sejak Januari lalu, agensi itu hanya mampu menjalankan pengagihan makanan yang terhad dan kadangkala terputus di kem berkenaan.

Sejak bulan lalu UNRWA sudah mengedarkan 7,500 bungkusan makanan di Yarmuk, bagaimanapun ia umpama menjatuhkan setitik air ke lautan memandangkan jumlah mereka yang memerlukan terus meningkat.” Satu bungkusan mampu bertahan selama 10 hari bagi lima hingga lapan sekeluarga.

“Rabu lalu hanya 10 peratus orang mendapat bantuan,” kata Sayed.
Ali Zoya, penduduk Palestin di Yarmuk, berkata “bantuan itu hanya bertahan untuk beberapa hari saja.”

Pengedaran bantuan hanya bermula selepas pemberontak yang berada di luar kawasan kem bersetuju untuk berundur, berikutan perjanjian yang dicapai dengan kumpulan serpihan Palestin.

Sejak Oktober lebih 100 orang mati akibat kekurangan makanan dan perubatan, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

“Penduduk di sini terlalu tidak bermaya,” kata Sayed. “Mereka seperti didera. Mereka berkata: “Bantulah kami atau biarkan saja kami mati.” - AFP sumber

No comments: