Saturday, March 1, 2014

SYRIA - Tentera Bunuh 175 Penentang

DAMSYIK 27 Feb. - Tentera Syria membunuh sebanyak 175 anggota kumpulan penentang yang kebanyakannya mempunyai kaitan dengan rangkaian militan al-Qaeda, dalam satu serang hendap, yang digambarkan sebagai salah satu serangan paling dahsyat yang dilancarkan tentera kerajaan di sini, hari ini.
Seorang jurucakap kumpulan penentang berkata, serangan pada subuh itu merupakan satu usaha kerajaan untuk mengawal keselamatan di ibu negara ini. Serangan itu dilakukan oleh kumpulan Hezbollah dari Lebanon.

Kumpulan Hezbollah memainkan peranan penting membantu tentera Presiden Bashar Assad menghalau kumpulan penentang yang berkubu di pinggir Damsyik.

Agensi Berita Tempatan Syria (SANA) memetik seorang komander yang terlibat dalam serangan itu di Ghouta berkata, kebanyakan anggota penentang terbunuh dalam serangan di tasik Oteibah di tenggara Damsyik yang merupakan kubu kuat Barisan al-Nusra Islam.

Menurut laporan itu, kebanyakan mangsa yang terkorban itu merupakan pejuang dari negara luar yang datang ke Syria melalui Arab Saudi, Chechnya dan Qatar.

Tambahnya, operasi itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan penentang.

Agensi tersebut turut menyiarkan beberapa gambar di laman webnya yang menunjukkan berpuluh-puluh mayat lelaki yang mengalami kecederaan di kaki dan terbaring di atas tanah yang lapang.

Sebahagiannya memakai seragam tetapi kebanyakannya berpakaian awam dan didapati membawa beberapa buah beg pakaian dan botol air yang dilihat bertaburan di atas tanah, menunjukkan mereka sedang bergerak ke lokasi baharu ketika diserang. - AGENSI sumber

No comments: