Monday, March 31, 2014

TURKI - 8 Maut, 13 Cedera dalam Pilihan Raya

Istanbul: Lapan orang terbunuh manakala 13 lagi cedera dalam keganasan yang meletus ketika pilihan raya tempatan bagi memilih pemimpin peringkat kejiranan dan kampung di Turki semalam.

Sekurang-kurangnya enam orang mati dan empat cedera di sebuah kampung di Yuvacik, wilayah Sanliurfa yang dihuni sebahagian besarnya oleh puak Kurish di tenggara negara itu, demikian menurut laporan agensi berita Dogan.

Di selatan bandar Hatay pula, dua orang terbunuh dan sembilan lagi cedera apabila beberapa keluarga yang bersaing bergaduh menggunakan kayu pemukul, pisau dan pistol berhubung calon masing-masing, kata Dogan.


Lebih 50 juta orang, layak mengundi di seluruh negara yang juga bagi memilih datuk bandar dan ahli majlis perhimpunan tempatan di 81 wilayah negara itu.

Undian peringkat wilayah dan bandar itu dilihat sebagai ujian penting populariti Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, ketika kerajaan pimpinannya berdepan demonstrasi dan protes jalanan serta dakwaan skandal rasuah.

Keputusan undian terutama di Istanbul dan ibu negara Ankara akan memberi kesan kepada masa depannya kerana dia berhasrat bertanding jawatan presiden Ogos nanti, atau meminda perlembagaan parti membolehkannya memegang jawatan perdana menteri untuk penggal keempat tahun depan.

Undian bermula jam 7 pagi (0500 GMT) di timur Turki dan 8 pagi di bahagian barat. Untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar, pihak berkuasa menangguhkan selama sehari perubahan waktu Turki ke waktu musim panas.
Berdepan banyak krisis

Erdogan, disanjung dalam dan luar negara kerana memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi berdepan banyak krisis dalam tempoh 10 bulan lalu.

“Meskipun banyak kenyataan yang tidak wajar (oleh pembangkang) dan dalam ucapan ketika perhimpunan sehingga kini, rakyat akan menzahirkan apa yang benar hari ini,” kata Erdogan yang mengetuai Parti Pembangunan dan Keadilan.

“Apa yang dinyatakan oleh rakyat itulah yang sebenarnya,” kata bekas datuk bandar berusia 60 tahun itu selepas mengundi semalam.

Golongan sekular kelas menengah di bandar semakin terasing sejak polis memburu penunjuk perasaan di Taman Gezi, Istanbul pada Jun lalu, yang mencetuskan pertempuran selama berminggu di jalan raya sehingga menyebabkan lapan orang terbunuh dan beribu cedera.

Ia membangkitkan tindak balas dan persepsi dia pemimpin autokratik tatkala bermusuh pula dengan bekas sekutunya
terutama ulama Islam berpengaruh, Fethullah Gulen yang kini diisytiharkan sebagai musuh utamanya.

Erdogan menuduh imam berusia 73 tahun itu dan penyokongnya dalam polis Turki serta dalam sistem keadilan, terbabit dalam mendedahkan di dalam media sosial mengenai rasuah dan rundingan keselamatan peringkat tinggi di Syria. - AFP sumber

No comments: