Friday, March 28, 2014

TURKI - Erdogan Hadapi Ujian Getir

Istanbul: Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang sudah berbulan-bulan dibelenggu tunjuk perasaan jalanan dan dakwaan rasuah, kini berdepan ujian lebih besar apabila partinya yang berasaskan Islam bertanding dalam pilihan raya tempatan Ahad ini.

Undi perbandaran di Istanbul, Ankara dan di tempat lain adalah pemilihan pertama sejak tindakan keras polis terhadap penunjuk perasaan mengorbankan lapan nyawa Jun lalu dan mencetuskan kegawatan politik berbulan-bulan lamanya.

Kurang disenangi


Selepas lebih satu dekad berkuasa, Erdogan kurang disenangi akibat tindak balas kekerasan, termasuk melabelkan pengkritiknya pengganas, menyingkirkan ribuan polis dan pegawai keadilan selain mengharamkan Twitter.

Kita akan memberi mereka satu pengajaran yang besar pada 30 Mac dan mencapai kemenangan, kata Erdogan, pada rapat umum di Istanbul minggu lepas, satu daripada puluhan kempen yang dihadirinya.

Erdogan, seorang bekas datuk bandar di kota besar itu, menegaskan bahawa sesiapa yang menang di Istanbul, akan menang di Turki. Beliau juga berikrar untuk berhenti daripada politik melainkan jika partinya Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) muncul sebagai pemenang.

Sambil menurunkan peratusan, AKP berkata sebarang keputusan melebihi 38.8 peratus yang dimenanginya pada pemilihan tempatan 2009 akan dikira berjaya jauh lebih rendah, jika dibandingkan dengan 49 peratus yang dicapai pada pilihan raya umum 2011. AFP sumber

No comments: