Monday, March 31, 2014

TURKI - Erdogan Hadapi Ujian Getir

Ankara: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang berdepan protes dan dakwaan skandal rasuah, semalam melalui ujian penting apabila lebih 50 juta rakyat negara itu yang layak, mengundi dalam pilihan raya tempatan.

Disifatkan sebagai “sultan” oleh penyokong setianya tetapi dilabel “diktator” oleh musuhnya, Erdogan sudah berminggu berkempen bersama calon datuk bandar, untuk menjadikan undian itu sebagai satu pungutan suara terhadap pemerintahannya yang sudah bertahan selama 11 tahun.

Keputusan undian terutama di Istanbul dan ibu negara Ankara akan memberi kesan kepada masa depannya kerana dia berhasrat bertanding jawatan presiden Ogos nanti, atau meminda perlembagaan parti membolehkannya memegang jawatan perdana menteri untuk penggal keempat tahun depan.


Undian bermula jam 7 pagi (0500 GMT) di timur Turki dan 8 pagi di bahagian barat.

Lebih 50 juta orang mengundi untuk jawatan datuk bandar dan ahli majlis perhimpunan tempatan di hampir 200,000 pusat mengundi, yang menyaksikan saingan antara parti Pembangunan dan Keadilan pimpinan Erdogan yang berpaksikan Islam dengan parti sekular, nasionalis dan kumpulan lain.

Tangguh sehari

Untuk memastikan pilihan raya berjalan lancar, pihak berkuasa menangguhkan selama sehari perubahan waktu Turki ke waktu musim panas.
Erdogan, pemimpin yang disanjung dalam dan luar negara kerana memacu pertumbuhan ekonomi, berdepan banyak krisis dalam tempoh 10 bulan lalu.

Semakin terasing

Bagaimanapun golongan sekular kelas menengah bandar semakin terasing sejak polis memburu penunjuk perasaan di Taman Gezi, Istanbul pada Jun lalu, yang mencetuskan pertempuran selama berminggu di jalan raya sehingga menyebabkan lapan orang terbunuh dan beribu cedera.

Ia membangkitkan tindak balas dan persepsi dia pemimpin autokratik tatkala bermusuh pula dengan bekas sekutunya terutama ulama Islam berpengaruh berpangkalan di Pennyslvania, Fethullah Gulen yang kini diisytiharkan sebagai musuh utamanya.

Erdogan menuduh imam berusia 73 tahun itu dan penyokongnya dalam polis Turki serta dalam sistem keadilan, terbabit dalam mendedahkan di dalam media sosial mengenai rasuah dan rundingan keselamatan peringkat tinggi di Syria.

Kerajaan bertindak balas terutamanya dengan menghalang Twitter dan YouTube sejak dua minggu lalu yang mencetuskan kritikan daripada sekutu Turki dalam NATO dan kumpulan hak asasi manusia.

“Kita akan mengajar Pennyslvania, yang mencuri dengar perbualan telefon,” kata Erdogan sehari sebelum pilihan raya. “Mereka adalah pengkhianat... mereka adalah pengintip... Kita akan bangkit lebih kuat lagi, Insya-Allah.” - AFP sumber

No comments: