Thursday, April 3, 2014

ACHEH - 15 Wanita Ditangkap Langgar Syariat

Banda Aceh: Polis syariah di Aceh Nanggroe Darussalam menahan 15 wanita selepas mereka ‘ditangkap’ di sebuah kedai kopi lewat malam atas kesalahan melanggar kod etika Islam.

Mereka didakwa tidak berpakaian mengikut peraturan Islam dan berpeleseran pada waktu tengah malam dalam operasi penguatkuasaan syariah yang dijalankan pegawai ketenteraman awam dan polis Syariah Aceh Sabtu lalu.

Rondaan berkaitan dengan pelanggaran undang-undang syariah oleh golongan bawah umur di Banda Aceh terutama di pusat bandar,” kata Agensi Ketenteraman Awam Aceh (Sapol PP) dan Ketua Polis Syariah Wilayatul Hisbah (WH), Rita Pujiastuti.
 
Remaja melacur

Rita berkata, kebanyakan remaja yang menghabiskan masa berada di kedai kopi sehingga awal pagi dipercayai terbabit dalam pelacuran.

“Selain berpeleseran, kami percaya mereka terbabit dalam kerja seksual,” kata Rita.
Selain menahan gadis terbabit, polis syariah di Banda Aceh turut menahan sebilangan remaja berpakaian punk dan pekerja salon kecantikan yang dipercayai melakukan perbuatan tidak bermoral.

Mereka ditahan untuk soal siasat dan akan dibebaskan sebaik saja siasatan selesai dijalankan. Mereka turut ditahan di penjara tanpa dibenarkan untuk jaminan.

“Siasatan kini lebih tertumpu kepada pelanggaran undang-undang syariah yang mereka lakukan. Jika terbukti bersalah kes terbabit akan dibawa ke Mahkamah Syariah,” kata Rita.

Rita berkata pihak polis akan terus meningkatkan serbuan dan operasi di kawasan yang didapati sering melanggar undang-undang syariah.

“Kami akan terus berjuang menegakkan syariah sehingga Banda Aceh bebas dari maksiat dan pelanggaran undang-undang syariah,” kata Rita.

Sementara itu, seorang remaja yang ditahan dari Jakarta, Gita berkata beliau berada di Banda Aceh sejak tiga bulan lalu.

Katanya penahanannya adalah tanpa bukti dan beliau menentang keras cara insiden terbabit dikendalikan oleh pegawai WH. - AGENSI sumber

No comments: