Wednesday, April 23, 2014

AFRIKA TENGAH - 100 Muslim Dipindahkan

Bangui: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memindahkan hampir 100 penduduk Islam dari ibu negara Republik Afrika Tengah yang sedang dilanda krisis bagi menyelamatkan nyawa mereka, kata pegawai.

Dengan dibantu kakitangan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, seramai 93 penduduk Islam dipindahkan ke timur dari Bangui ke bandar Bambari, kata pegawai kanan di bandar itu El Hadj Abacar ben Ousmane. Bandar itu terletak sejauh 300 kilometer dari ibu negara.Keganasan di negara bekas jajahan Perancis itu membunuh beribu-ribu penduduk tahun lalu.

Kumpulan penduduk Islam itu berpindah dari Bambari sejak Ahad lalu hingga kelmarin dalam dua buah trak, diiringi satu konvoi kenderaan pasukan pengaman Perancis Sangaris, agensi pelarian UNHCR dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa.

Konvoi terbabit turut dilemparkan dengan batu ketika melintasi bandar Sibut, kata seorang anggota pengaman MISCA diketuai Afrika.

“Ini adalah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa mereka, sebagai jalan terakhir selepas sekian lama mempertimbangkan kes mereka,” kata timbalan ketua UNHCR di Republik Afrika Tengah itu, Tammi Sharpe.

Beliau berkata penduduk Islam yang dipindahkan itu menjadi sasaran serangan di kejiranan Bangui dan keadaan sekarang disifatkan terlalu tegang.

Di Bambari, bandar dengan majoriti seramai 45,000 penduduk Kristian, El Hadj Abacar ben Ousmane berkata penduduk Islam dan Kristian boleh hidup secara harmoni.

“Kami tidak ada bantahan untuk menyambut yang lain. Kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya.

Republik Asia Tengah itu adalah satu daripada negara termiskin di dunia, dilanda krisis selepas satu rampasan kuasa oleh kebanyakan pemisah Islam Seleka pada Mac tahun lalu. - AFP

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PBBpindahkan100pendudukIslam/Article/index_html

No comments: