Wednesday, April 30, 2014

MALAYSIA - Tiada Harta Karun di Pulau Nangka

MELAKA: Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, syarikat yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, gagal menemui harta itu setakat ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata kontrak pencarian selama empat bulan bermula Januari lalu yang diperoleh syarikat itu, akan tamat pada 12 tengah malam ini.

Mulai esok, katanya, kerja pencarian itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat lain yang akan menumpukan pencarian di kawasan lain di pulau itu.


"Sebenarnya kerja pencarian harta karun di pulau itu telah dilakukan sejak lebih 25 tahun lepas oleh pelbagai pihak tetapi sehingga kini ia tidak ditemui," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Isnin lalu, EXCO Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan, berkata kerja-kerja mengorek dinding batu di kawasan yang dipercayai pintu tempat simpanan harta itu, sudah siap 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Idris berkata, kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Nangka sebagai pusat tarikan pelancong jika harta itu ditemui tetapi tidak dapat dikeluarkan dari pulau itu atas sebab tertentu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia menyiasat dakwaan salah laku yang melibatkan pegawai kanan pentadbirannya jika dakwaan yang dikemukakan itu berasas dan mempunyai bukti kukuh.
"Setakat ini, aduan yang dikemukakan itu sekadar aduan emosi sahaja...aduan apabila saya meletakkan orang baharu yang tegas dalam organisasi itu.

"Kita sentiasa bersikap terbuka, tetapi janganlah buat aduan sesuka hati tanpa kemuka bukti yang kukuh," katanya.

Baru-baru ini, seorang pegawai kanan sebuah akhbar harian milik Kerajaan Negeri Melaka dikaitkan dengan penyelewengan membabitkan wang kerajaan negeri.

Sebelum itu, seorang pegawai kanan Jabatan Ketua Menteri Melaka dikaitkan dengan kegiatan judi haram di negeri ini.

Dalam sidang akhbar itu juga, Idris turut mengumumkan Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 21 Jun ini.

"Kita jangka antara 15,000 dan 20,000 orang bakal menghadiri sambutan itu. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dijadual merasmikan sambutan itu," katanya.

- BERNAMA sumber

No comments: