Friday, April 4, 2014

PAKISTAN - Cubaan Bunuh, Musharraf Selamat

Musharraf terselamat cubaan bunuh Pervez Musharraf
 
Islamabad: Bekas pemimpin tentera Pakistan, Pervez Musharraf, yang sedang berdepan perbicaraan kes pengkhianatan, terselamat cubaan bunuh apabila sebutir bom meledak lebih awal sebelum konvoi beliau melepasinya awal pagi semalam, kata polis.

Bom itu ditanam di laluan Musharraf yang datang dari Hospital Tentera di Rawalpindi lokasi beliau tinggal sejak Januari lalu untuk ke rumahnya di pedalaman Islamabad dan meletup kira-kira jam 2 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan dan setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.
 
 “Empat kilogram bahan letupan yang ditanam dalam saluran paip di bawah jambatan meletup 20 minit sebelum bekas presiden sepatutnya melalui tempat kejadian,” kata pegawai kanan polis, Liaqat Niazi.


Letupan itu berlaku di persimpangan Faizabad, yang terletak di sempadan kedua-dua bandar dan memusnahkan laluan jalan kaki kira-kira dua meter lebar. Niazi berkata, bekas presiden itu kemudian dibawa pulang melalui laluan alternatif.

Muhammad Naeem, jurucakap polis Islamabad yang mengesahkan kejadian itu berkata, skuad pemusnah bom menutup kawasan itu selepas letupan untuk mencari bahan letupan lain.

“Tiada siapa yang cedera dalam letupan itu,” kata beliau sambil menambah Musharraf adalah sasaran yang dimaksudkan.

Musharraf, yang mengetuai Pakistan dari 1999 hingga 2008 dan memilih untuk hidup dalam buangan, pulang pada Mac tahun lepas untuk berjuang dalam pilihan raya umum, namun dia dihalang daripada mengambil bahagian dan sedang berdepan beberapa kes undang-undang termasuk pengkhianatan.

Taliban juga berikrar untuk menghantar skuad pengebom bunuh diri untuk membunuhnya, ancaman keselamatan yang menghalangnya daripada muncul di semua perbicaraan kes beliau. - AFP sumber

No comments: