Tuesday, April 15, 2014

PALESTIN - Lelaki Bawah 50 Tahun Tak Dibenarkan ke Al-Aqsa

Baitulmaqdis: Polis Israel semalam mengehadkan kemasukan orang Islam di pintu masuk pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, berikutan kebimbangan tercetus keganasan baru selepas pertempuran hujung minggu lalu, kata jurucakap.

Jurucakap polis Micky Rosenfeld, berkata sebagai sebahagian langkah keselamatan, penduduk lelaki Baitulmaqdis akan dikenakan sekatan had umur.

Lelaki 50 tahun dibenar

“Bagi lelaki, hanya mereka berumur 50 tahun ke atas dibenarkan untuk bersembahyang, manakala wanita pula semua peringkat umur,” katanya.

“Ia adalah satu langkah berjaga-jaga yang diambil selepas penilaian keselamatan menyatakan kekacauan mungkin berlaku lagi. Lima orang ditangkap Ahad lalu apabila penduduk Palestin dan polis Israel bertempur di pekarangan bandar lama bertembok itu.

Polis berkata, perusuh melempar batu dan beberapa bom molotov koktel manakala pegawai membalas dengan bom tangan yang menyebabkan perusuh pengsan.

Wartawan AFP berkata anggota pergerakan Hamas Palestin adalah antara penunjuk perasaan di pekarangan bandar itu.
Kawasan itu turut menempatkan Kubah Batu dan masjid Al-Aqsa, tapak suci ketiga umat Islam.

Orang Yahudi berkata, sebuah kuil pernah didirikan dan dihormati sebagai tempat suci penganut Yahudi.

Sekatan polis berkuat kuasa ketika penganut Yahudi bersedia untuk meraikan perayaan Passover selama seminggu, bermula sebaik matahari terbenam.

Pihak tentera dalam kenyataannya menyebut, oleh kerana ia hari cuti utama penganut Yahudi, askar menyekat kemasukan penduduk Tebing Barat ke Israel selama 48 jam bermula dari tengah malam Ahad lalu.

Ia menyatakan kemasukan akan hanya dibenarkan untuk kes-kes perubatan, kemanusiaan dan luar biasa. - AFP sumber

No comments: