Friday, April 25, 2014

Polis BRITAIN dekati wanita Islam elak ke SYRIA

LONDON 24 April - Polis Britain di sini, hari ini mendekati wanita Islam di negara ini bagi menghalang niat anak-anak muda Britain pergi ke Syria bagi tujuan kemanusiaan atau perang saudara di sana, selepas berlaku peningkatan tangkapan mendadak mereka yang pergi ke negara itu berkaitan konflik di sana.
Pegawai memerangi keganasan baru-baru ini melancarkan kempen bagi membantu meningkatkan kesedaran terhadap risiko pergi ke Syria, terutama bagi mereka yang ingin menawarkan bantuan kemanusiaan.
Kempen ini dibuat berikutan peningkatan bilangan rakyat negara ini yang terperangkap dalam perjalanan atau kembali dari Syria, selepas 40 orang ditahan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 25 orang pada tahun lalu.
Sebahagian mereka yang ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan berkaitan keganasan.
Minggu lalu, seorang bapa, Abubaker Deghayes dari Brighton di pantai selatan England mendedahkan bahawa tiga anak lelakinya terlibat dalam perang di Syria dan seorang daripada mereka terkorban dalam pertempuran di sana.
Abdullah Deghayes, 13, terbunuh awal bulan ini selepas meninggalkan tanah air pada Januari lalu, manakala abangnya berusia 20 tahun, Amer mengalami luka di bahagian perut dalam pertempuran yang sama.
“Kami semakin bimbang peningkatan jumlah anak muda yang merancang untuk pergi ke Syria bagi menyertai perang saudara di sana," kata penyelaras kanan kebangsaan bagi memerangi keganasan, Helen Ball.
Kata Ball, pihaknya mahu memastikan orang ramai, terutamanya wanita yang prihatin terhadap orang tersayang diberi maklumat tepat tentang apa yang boleh mereka lakukan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Pusat Antarabangsa bagi Kajian Radikalisasi di College King of London, menganggarkan 200 hingga 366 orang rakyat Britain terlibat dengan perang saudara di Syria.
Polis akan mengadakan mesyuarat di negara ini, hari ini bersama wanita daripada kumpulan yang berbeza, pekerja kebajikan dan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat bagi mencegah fahaman pelampau.
Risalah yang menyenaraikan risiko perjalanan pergi ke Syria, yang akan diedarkan di lapangan terbang dan juga pelabuhan.
Suruhanjaya Kebajikan turut terlibat dalam kempen itu, bagi menasihati orang ramai bagaimana mereka boleh membantu menghantar bantuan kemanusiaan ke Syria tanpa menyalurkannya kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

No comments: