Wednesday, April 23, 2014

SAUDI - Menteri Kesihatan Dipecat, 81 Kematian Akibat MERS-CoV

Jumlah kematian akibat MERS-CoV meningkat kepada 81 kes

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Saudi memecat menteri kesihatan negara itu Abdullah al-Rabiah kelmarin, pada ketika jumlah kematian akibat virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di negara itu meningkat kepada 81 dan kes jangkitan turut meningkat.

Agensi berita negara itu melaporkan bahawa menteri buruh Adel Faqih mengambil tugas sementara sebagai menteri kesihatan sehingga seorang pengganti dipilih.

Ia menyatakan al-Rabiah kini menjadi menjadi penasihat kepada Mahkamah Diraja.

Tiada sebab diberikan atas pemecatan itu, tetapi ia berlaku ketika negara itu sedang berusaha keras untuk mengawal MERS daripada merebak.

Al-Rabiah, minggu lalu melawat hospital di Jeddah untuk menenangkan penduduk yang dilanda panik berhubung penularan virus berkenaan di kalangan kakitangan perubatan yang mencetuskan penutupan sementara bilik kecemasan hospital.

Sementara itu kementerian kesihatan lewat kelmarin menyatakan seorang warga Arab Saudi berusia 73 tahun yang menderita penyakit kronik meninggal dunia di Riyadh, dan seorang lagi yang didiagnos dengan virus itu berusia 54 tahun, meninggal dunia di Jeddah.

Kementerian berkata, ia mendaftarkan 261 kes jangkitan di seluruh negara itu sejak penemuan MERS pada September 2012.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada 17 April lalu, ia dimaklumkan mengenai 243 kes jangkitan MERS yang disahkan makmal di seluruh dunia, termasuk 93 kematian.

MERS pada awalnya bertumpu di timur Arab Saudi tetapi kini melanda kawasan lain.

Virus berkenaan dianggap membawa maut tetapi kurang dipindahkan berbanding virus Sindrom Pertahanan Yang Teruk (SARS) yang melanda Asia pada 2003 dan menjangkiti 8,273 orang, sembilan peratus daripadanya meninggal dunia.

Pakar masih berusaha memahami MERS, dan masih tiada vaksin.

Kajian terbaru menunjukkan virus berkenaan amat biasa pada unta sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu, dan mungkin dipindahkan secara langsung daripada haiwan kepada manusia. – AP/AFP sumber

No comments: