Wednesday, April 23, 2014

SYRIA - Pilihanraya Presiden pada 3 Jun

Damsyik: Syria mengumumkan akan mengadakan pilihan raya presiden pada 3 Jun yang dijangkakan untuk mengembalikan semula Bashar al-Assad sebagai Presiden, ketika dakwaan terbaru muncul mengenai penggunaan senjata kimia oleh rejim beliau.

Pilihan raya presiden pertama Syria selepas pindaan perlembagaan memansuhkan sistem referendum, akan diteruskan walaupun keganasan membunuh 150,000 penduduk sejak Mac 2011.

Serangan mortar membunuh dua penduduk berhampiran bangunan parlimen ketika tarikh pilihan raya hendak diumumkan.

Speaker Mohammad al-Lahham mengumumkan tarikh itu di Parlimen dengan berkata penduduk Syria tinggal di luar negara akan mengundi pada 28 Mei manakala calon boleh mendaftar mulai semalam sehingga 1 Mei.

Undian akan dijalankan secara adil dan bebas di bawah pengawasan kehakiman penuh, katanya.


PBB kutuk pengumuman
Bagaimanapun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk pengumuman itu, sambil memberi amaran ia mungkin menjejaskan penyelesaian politik terhadap konflik itu.

“Pilihan raya terbabit tidak selaras dengan apa yang tersurat dan tersirat dalam kenyataan Geneva,” kata jurucakap PBB, Stephen Dujarric di New York.

Beliau merujuk kepada satu perjanjian mengenai perubahan ke arah demokrasi sebagai asas rundingan antara kerajaan dan pembangkang.

Lancar serangan kimia

Pengumuman pilihan raya itu dibuat beberapa jam sebelum Amerika Syarikat berkata, regim Assad melancarkan satu serangan kimia terhadap sebuah kampung pembangkang awal bulan ini.

“Kami mengesan tanda penggunaan kimia industri toksik kemungkinan klorin di Syria bulan ini di sebuah kawasan yang dikuasai pembangkang di Kafr Zita,” kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney.

“Kami memeriksa dakwaan bahawa kerajaan bertanggungjawab.”

Washington mengarahkan satu siasatan. Dakwaan terbaru itu dibuat ketika Pertubuhan Larangan Senjata Kimia dan pakar lain berusaha untuk mengalihkan bekalan senjata kimia rejim Assad.

Ia berikutan satu perjanjian dicapai selepas serangan kimia yang membawa maut di luar Damsyik pada Ogos lalu yang dipersalahkan Barat terhadap rejim Assad. - AFP sumber

No comments: