Monday, May 5, 2014

2 kumpulan penentang di SYRIA bertempur

Bangunan-bangunan di sebuah kawasan perumahan rosak teruk akibat pertempuran antara kumpulan penentang dan tentera kerajaan di Zamalka, pinggir Damsyik, kelmarin. - REUTERS
 
BEIRUT 4 Mei - Kira-kira 60,000 penduduk di timur Syria terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran pertempuran antara dua kumpulan penentang kerajaan Syria di beberapa buah bandar.
Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria semalam berkata, sayap al-Qaeda di Syria, Barisan Nusra mengambil alih bandar beberapa buah bandar daripada bekas sekutunya, Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL).

Menurut badan itu, sekurang-kurangnya 62 anggota daripada kedua-dua kumpulan tersebut terbunuh dalam pertempuran selama empat hari yang menyaksikan bandar Abreeha, al-Busayrah dan al-Zir yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 60,000 orang terpaksa melarikan diri.
“Anggota kumpulan-kumpulan itu bertindak membakar rumah di bandar terbabit.
“seorang gadis muda terbunuh terkena serangan mortar dalam pertempuran tersebut.
“Bandar-bandar berkenaan kini lenggang ekoran pertempuran antara kedua-dua kumpulan penentang kerajaan itu'' jelas agensi tersebut.

ISIL dan Barisan Nusra sering bertempur bagi merebut lapangan minyak dan kedudukan strategik di Deir al-Zor, kawasan gurun yang bersempadan dengan Iraq.
Badan itu berkata, beratus-ratus pelarian dilaporkan tiba di Turki, namun kebanyakan mereka mencari perlindungan di kawasan lain di wilayah Deir Ezzor. - REUTERS/AFP

No comments: