Tuesday, May 20, 2014

79 maut pertempuran di LIBYA

BENGHAZI 18 Mei - Sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh, manakala 141 yang lain cedera semalam dalam satu pertempuran ganas di timur Libya melibatkan kumpulan tentera yang setia kepada bekas Jeneral tentera, Khalifa Haftar dan kumpulan militia lain dalam kejadian yang disifatkan kerajaan sebagai satu usaha rampasan kuasa.
Kerajaan sementara negara ini turut menuduh Khalifa dan penyokongnya cuba menyingkirkan kumpulan militia di timur bandar Benghazi.
Khalifa turut menggunakan pesawat pejuang dan helikopter dalam pertempuran itu.
Pegawai Kementerian Kesihatan Libya, Abdallah al-Fitouri berkata, mangsa yang cedera dibawa ke lima buah hospital berhampiran.
Kumpulan separa tentera Jeneral itu berjanji untuk terus berjuang sehingga kumpulan militia disingkirkan dari Benghazi dan mengumumkan, mereka akan menyerang sebarang pesawat yang merentasi ruang udara bandar itu.
Kerajaan sementara Libya, Parlimen dan tentera berkata, operasi yang diketuai Khalifa itu disifatkan sebagai usaha merampas kuasa kerajaan pusat.
"Tindakannya itu adalah satu cubaan rampasan kuasa, dan semua yang terlibat dalam hal ini akan didakwa," kata Presiden Kongres Agung Kebangsaan, Nuri Abu Sahmein menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Khalifa menafikan dakwaan rampasan kuasa itu.
"Operasi ini bukan satu usaha rampasan kuasa, sebaliknya dilaksanakan untuk menentang keganasan di Libya," katanya yang turut mendakwa, kerajaan gagal mengembalikan keamanan di negara ini.
Februari lalu, Khalifa mencetuskan kontroversi rampasan kuasa apabila beliau mengumumkan mahu menggantung kerajaan sementara dan Parlimen, namun pihak kerajaan menegaskan, hal tersebut tidak akan berlaku.
Khalifa pernah menjadi komander kepada tentera diktator, Muammar Gaddafi dalam pemberontakan pada 2011 dan kumpulan tentera di bawah kawalannya dikatakan dibiayai oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dari Amerika Syarikat (AS). - AFP

No comments: