Monday, May 5, 2014

AFGHANISTAN: Tanah runtuh 350 terkorban

ANGGOTA sukarelawan mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Badakhshan, Afghanistan, semalam. - AFP
 
KABUL 3 Mei - Sekurang-kurangnya 350 orang disahkan maut manakala 2,000 lagi dikhuatiri hilang dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di timur laut Afghanistan, semalam.
Gabenor Badakhshan, Shah Waliullah Adeeb hari ini mengesahkan perkara itu selepas tanah runtuh melanda kira-kira 300 buah rumah di Kampung Hobo Barik di wilayah tersebut.

Shah Waliullah berkata, pasukan menyelamat sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa, namun mereka tidak mempunyai peralatan yang mencukupi.
"Kami tidak mempunyai penyodok dan memerlukan beberapa peralatan mesin," katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, fokus diberikan untuk membantu 4,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

"Risiko kejadian ini berulang masih tinggi dan mereka perlu dipindahkan di tempat yang lebih selamat," kata pertubuhan antarabangsa tersebut.
Kawasan pergunungan di Badakhshan dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu dan satu cenuram di bukit berdekatan Hobo Barik runtuh pada pukul 11 pagi (12 tengah hari) semalam.

Rakaman video menunjukkan sebahagian besar bukit runtuh menyebabkan lumpur dan tanah bergerak ke arah kawasan perkampungan berdekatan.
Ketua Polis Wilayah Badakhshan, Mejar Jeneral Faziluddin Hayar berkata, pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan tujuh orang dan mengeluarkan tiga mayat daripada runtuhan tersebut.
"Kami kini hanya dapat membantu mereka yang kehilangan tempat tinggal. Kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu mereka yang terperangkap kerana kekurangan peralatan," katanya. - AGENSI

No comments: