Thursday, May 1, 2014

PALESTIN-ISRAEL saling bertikam lidah

WASHINGTON 30 April - Duta Palestin dan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) saling bertikam lidah dengan menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kepada kegagalan rundingan damai tajaan Amerika Syarikat (AS) ketika tarikh akhir perjanjian itu tamat, semalam.
Kesempatan pada mesyuarat Majlis Keselamatan badan dunia itu tentang Asia Barat digunakan sebaik-baiknya pemerhati Palestin, Riyad Mansour dan Duta Israel ke PBB, Ron Prosor untuk menuduh pihak yang merosakkan usaha Amerika itu walaupun mereka turut menyatakan komitmen masing-masing untuk berdamai.
“Israel mengekalkan pendirian menolak dan berterusan melanggar perjanjian sekali gus mengesahkan peranan mereka sebagai ‘perampas’, penindas dan bukannya sebagai pendamai.
“Sekali lagi, Israel telah menggagalkan usaha damai," kata Riyad kepada anggota majlis sambil menambah, Prosor turut bertanggungjawab di atas penangguhan perjanjian damai buat rakyat Palestin.
Prosor pula membalas, Palestin mencadangkan dialog tetapi turut menyemai kebencian dan merosakkan perjanjian damai.
Malah, Prosor turut menuduh Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang disokong Barat melepaskan peluang untuk bekerjasama dengan Israel, tetapi sebaliknya memilih untuk bersama Hamas.
Sembilan bulan lalu, AS melancarkan rundingan damai baharu antara Palestin dan Israel bagi menamatkan konflik sejak berdekad-dekad dan membantu menubuhkan sebuah negara Palestin di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Rundingan itu musnah minggu lalu dengan Washington menyalahkan kedua-dua pihak kerana gagal untuk bertolak ansur menjelang tarikh akhir rundingan semalam. - REUTERS


Sumber 

No comments: