Thursday, May 1, 2014

PALESTIN: Tentera Israel roboh masjid di Tebing Barat


SEBUAH masjid antara lapan bangunan yang dirobohkan oleh tentera Israel di kampung Khirbet di Tebing Barat. - AGENSI

BAITULMAQDIS 30 April - Sebuah masjid yang terletak di kampung Khirbet al-Tawil di sini, merupakan antara bangunan yang dirobohkan oleh tentera Israel kerana didakwa dibina tanpa permit, semalam.
Pencerobohan masjid itu berlaku sehari selepas Mahkamah Agung Israel memberikan tempoh 90 hari untuk mencadangkan ‘kaedah memudahkan penyertaan penduduk tempatan Palestin dalam proses perancangan’ di Kawasan C, lokasi 60 peratus daripada kawasan Tebing Barat berada di bawah kawalan Israel.
“Beberapa orang tentera datang lalu merobohkan masjid dan tiga buah rumah yang didakwa dibina tanpa permit di Kawasan C," kata Datuk Bandar Khirbet al- Tawil, Ayman Bani Fadel kepada AFP.
Pihak pentadbiran awam yang yang mentadbir Kawasan C mengesahkan ‘perobohan lapan bangunan yang dibina secara haram di dalam kawasan zon tembakan’.
Bangunan-bangunan tersebut dimusnahkan selepas penduduk membuat rayuan kepada Mahkamah Agung, namun rayuan mereka ditolak, jelas satu kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Tentera Israel mengawal kerja-kerja pembinaan di Kawasan C dan kawasan dijajah Israel di timur Baitulmaqdis.
Kumpulan hak asasi manusia menyatakan, pihak berkuasa mengehadkan pengeluaran permit dan memaksa penduduk untuk membina bangunan tanpa kebenaran.
Sehingga pertengahan April, Israel telah merobohkan sebanyak 213 bangunan dan 426 orang telah dipindahkan di timur Baitulmaqdis serta Tebing Barat, menurut data Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA). - AFP


Sumber 

No comments: