Tuesday, May 20, 2014

Parlimen LIBYA diserang

Beberapa lelaki bersenjata menaiki trak yang dilengkapi senjata berat semasa menyerang Parlimen Libya di Tripoli, kelmarin. - REUTERS
 
TRIPOLI 19 Mei - Sekumpulan anggota separa tentera yang setia kepada bekas Jeneral, Khalifa Haftar, menyerang Parlimen Libya semalam, memaksa Ahli-Ahli Parlimen keluar menyelamatkan diri selepas bangunan tersebut dihujani tembakan.
Sejurus serangan itu dilancarkan, seorang komander kepada pasukan keselamatan itu mengumumkan bahawa Parlimen Libya digantung, tindakan yang disifatkan kerajaan sementara negara ini sebagai cubaan rampasan kuasa.
Jeneral kumpulan terbabit, Mokhtar Farnana berkata, pihaknya telah melantik 60 orang ahli dewan untuk mengambil alih pentadbiran Parlimen dan menjelaskan, serangan itu bukan satu rampasan kuasa, sebaliknya dibuat berdasarkan keputusan rakyat.
Terdahulu, sekumpulan konvoi anggota tentera itu yang dibiayai Agensi Perisikan Pusat (CIA) bersama trak-trak yang membawa senapang antipesawat, mortar dan roket, menyerang Parlimen.
Kejadian itu mengakibatkan Ahli-Ahli Parlimen terpaksa dibawa keluar daripada bangunan tersebut ketika bunyi tembakan kedengaran.
Sekurang-kurangnya dua dilaporkan terbunuh, sementara lebih 50 yang lain cedera dalam insiden berkenaan.
Awal pagi ini, serangan roket merebak pula di Lapangan Terbang Benina, di Benghazi mengakibatkan pihak berkuasa terpaksa menutup lapangan terbang itu atas sebab keselamatan.
Kerajaan sementara Libya mengutuk serangan ke atas Parlimen itu tanpa mempedulikan deklarasi kumpulan Khalifa.
“Kerajaan juga mengutuk penggunaan senjata sebagai medium bagi meluahkan pendapat politik mereka.
“Kami menggesa supaya penggunaan senjata tentera dihentikan dan menyeru semua pihak mengambil jalan menerusi dialog dan berdamai," kata Menteri Kehakiman, Salah al-Marghani dalam satu kenyataan.
Serangan itu berlaku sehari selepas kumpulan penyokong Khalifa menyerang bandar Benghazi dan menyebabkan 79 orang terkorban.
Kumpulan di bawah kawalan Khalifa itu menyasarkan ahli politik serta para pegawainya, menurut jurucakapnya, Mohammed al-Hegazi kepada stesen televisyen al-Ahrar.
Februari lalu, Khalifa mencetuskan kontroversi rampasan kuasa apabila beliau mengumumkan mahu menggantung kerajaan sementara dan Parlimen, namun pihak kerajaan menegaskan, hal tersebut tidak akan berlaku.
Khalifa pernah menjadi komander kepada tentera diktator, Muammar Gaddafi dalam pemberontakan pada 2011 dan kumpulan tentera di bawah kawalannya dikatakan dibiayai oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). - AGENSI

No comments: