Tuesday, June 3, 2014

AFGHANISTAN: Karzai berang tindakan AS

Karzai berang tindakan AS

Kabul: Presiden Hamid Karzai berang selepas diberitahu berhubung perjanjian membebaskan lima pemimpin Taliban sebagai pertukaran kepada tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditahan dan menuduh Washington gagal menyokong pelan damai negara itu, kata sumber semalam.

Lima banduan berkenaan diterbangkan ke Qatar kelmarin sebagai sebahagian perjanjian rahsia membebaskan Sarjan Bowe Bergdahl, yang menuju ke Jerman dari Afghanistan pada hari sama.

Satu-satunya tahanan perang Amerika di Afghanistan, Bergdahl ditahan selama lima tahun.


“Presiden kini lebih tidak mempercayai niat Amerika di negara ini. Beliau bertanya: Bagaimana pertukaran banduan berjalan lancar, apabila proses damai Afghanistan gagal membuat sebarang kemajuan?,” kata sumber di istana presiden di Kabul.


Perangi tentera asing

Karzai menyokong rundingan damai dengan Taliban yang memerintah Afghanistan antara 1996 dan 2001 dan sejak itu berjuang memerangi tentera asing diketuai Amerika di negara berkenaan.
Namun ia tidak menunjukkan banyak perkembangan setakat ini dan pergerakan itu berharap pertukaran banduan akan menyalakan semula rundingan damai antara kumpulan itu dan kerajaan Afghanistan.


Jejas proses damai

“Ia tidak membantu proses damai kerana kami tidak percaya proses damai itu,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, kelmarin.

Istana rasmi juga berkata, Karzai bimbang perjanjian seterusnya dibuat tanpa pengetahuan beliau.

“Ia menunjukkan perjanjian lain boleh dirunding di belakang presiden,” kata sumber.

Karzai belum memberi komen terbuka mengenai pertukaran banduan itu yang menambah rasa tidak percaya pemimpin itu yang mengkritik keras pentadbiran Amerika secara kebelakangan ini.

Beliau dijangka meletak jawatan lewat tahun ini, tetapi ramai rakyat percaya Karzai terus berpengaruh dalam dasar kerajaan di belakang tabir.

Pejabat media Karzai dalam satu kenyataan perjanjian Amerika untuk memindahkan lima pejuang Taliban dari penjara Teluk Guantanamo ke Qatar melanggar undang-undang antarabangsa.

“Tiada kerajaan boleh memindahkan rakyat negara lain ke negara ketiga sebagai banduan,” menurut kenyataan, yang dikeluarkan bagi pihak Kementerian Dalam Negeri.

Pertukaran banduan berkenaan juga menaikkan kemarahan di Afghanistan, yang dilihat ramai sebagai tanda keinginan Amerika untuk menjauhkan diri daripada negara itu secepat mungkin.

Sumber

No comments: