Monday, June 2, 2014

Israel sabotaj kerajaan perpaduan PALESTIN

Gambar bertarikh 23 April lalu, menunjukkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (kanan) menyerahkan perjanjian kepada Perdana Menteri, Rami Hamdallah yang dilantik mengetuai kerajaan perpaduan Hamas dan Fatah. - REUTERS
 
BAITULMAQDIS 1 Jun - Rejim Israel cuba mensabotaj pembentukan kerajaan perpaduan Palestin apabila menghalang tiga bakal menteri Palestin memasuki Tebing Barat dari Genting Gaza, hari ini, sehari sebelum Presiden, Mahmoud Abbas mengumumkan kerajaan baharu itu.
Laporan radio tempatan yang memetik kenyataan ketua pentadbiran tentera Israel di wilayah Palestin, Mejar Jeneral Yoav Mordechai berkata, ketiga-tiga pemimpin itu tidak dibenarkan melintasi sempadan kedua-dua kawasan terbabit sebagai tanda bantahan rejim Zionis terhadap pembentukan kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Kementerian Pertahanan yang dihubungi AFP enggan mengulas lanjut tentang laporan tersebut.
Malah, identiti ketiga-tiga pemimpin Palestin itu juga tidak didedahkan.
Dalam pada itu, Abbas berkata, barisan menteri yang akan mengemudi kerajaan perpaduan Palestin akan diumumkan esok selepas penangguhan pelantikan Menteri Luar.
Tambahnya, beliau dimaklumkan bahawa Israel akan memulaukan kerajaan baharu itu kerana pergerakan Fatah bekerjasama dengan pergerakan Hamas yang dilabel sebagai pengganas oleh rejim Zionis.
"Israel cuba melemahkan semangat kita apabila mahu menghukum Palestin kerana bekerjasama dengan Hamas.
"Di bawah kerajaan perpaduan ini, Fatah dan Hamas akan bekerja sebagai kerajaan yang bebas selain membuka jalan mengadakan pilihan raya yang telah lama tertangguh," katanya.
Permusuhan Fatah dan Hamas yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu, berakhir pada April lepas selepas kedua-dua pihak bersetuju membentuk kerajaan perpaduan yang diumumkan pada 28 Mei lalu.

No comments: