Monday, June 30, 2014

TURKI - Abdullah Gul Tak Pertahan Jawatan Presiden

ISTANBUL: Presiden Turki, Abdullah Gul berkata beliau tidak akan bertanding untuk mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua, sekaligus memperkuatkan lagi spekulasi mengenai pencalonan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan.

“Saya tidak akan mengemukakan pencalonan...penggal saya tamat pada 28 Ogos,” Abdullah memberitahu pemberita sebelum mengadakan perbincangan tertutup dengan Erdogan di sini hari ini.

Katanya, beliau sudahpun menyatakan hasratnya untuk tidak bertanding kepada perdana menteri sebelum pilihan raya tempatan Mac lalu.

Erdogan yang memegang jawatan perdana menteri bagi penggal ketiga, tempoh maksimum di bawah peraturan Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP), dijangka mengumumkan untuk bertanding presiden esok.

Sementara itu, Abdullah Gul pula dijangka akan menjadi calon perdana menteri andainya Erdogan bertanding dalam pilihan raya presiden pada 10 Ogos depan, pilihan raya pertama di mana rakyat memilih ketua negara.

Semalam, dua parti pembangkang utama di Turki memberi sokongan kepada bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu sebagai calon presiden bagi menentang Erdogan. - AFP  sumber

No comments: