Friday, July 25, 2014

AMERIKA, MH17 dan Gaza

Seorang lelaki memerhatikan serpihan pesawat MH17. Sudah seminggu berlalu namun sehingga kini, siapa sebenar yang menembak jatuh pesawat malang itu belum lagi dikenal pasti. - Foto AFP

SEKUMPULAN orang gasar atau barbarian yang susah hendak dibawa bicara. Itu tanggapan saya mengenai pemberontak Ukraine pro Rusia yang menyusuli berita-berita awal tragedi MH17.

Imej itu ditanam dalam kepala saya oleh media. Mereka digambar sebagai kumpulan penjahat yang bukan sahaja ganas malah tidak berperikemanusiaan. Tanpa berkira-kira, saya pun percaya.

Akan tetapi apabila PM Najib secara tiba-tiba dan dalam tempoh yang singkat, berjaya memujuk ketua pemberontak, Alexander Borodai untuk menyerah kotak oren - saya tidak mahu tipu diri mengatakan itu kotak hitam - kepada pasukan penyiasat Malaysia, dua pertanyaan muncul secara tiba-tiba dan terus berputar mengikut orbit mengelilingi kepala saya.

Yang pertama, bagaimana Najib tiba-tiba jadi begitu hebat berjaya menundukkan pemberontak yang sebelum itu digambarkan seganas raksasa, sukar berkompromi dan tidak berperikemanusiaan terutama dengan tindakan mereka merampas mayat mangsa daripada pasukan penyelamat, lalu disembunyikan?

Apa ilmu yang Najib pakai?

Yang kedua, benarkah kumpulan pemberontak pro Rusia itu benar-benar ganas dengan sikap yang sangat tidak sesuai untuk hidup pada zaman ini, sebagaimana yang digembar-gembur media?

Ya, agak sukar bagi diri saya sendiri mulanya untuk menyisih tanggapan buruk itu. Meskipun dari awal hati saya seakan tidak mahu terima momokan media kononnya pemberontaklah yang menembak jatuh pesawat kita, namun rasa marah tetap ada.

Tidak mudah sebenarnya untuk dinyah persepsi itu selagi kita tidak dapat jawapan yang pasti, siapa yang sebenarnya menembak MH17 dan membunuh 298 manusia yang tidak bersalah. Sekurang-kurangnya pada masa itu, kita sudah ada kambing hitam!

Namun saya mula curiga apabila tersebar cerita 'propa' MH17 jadi mangsa tersilap tembak yang sebenarnya menyasarkan pesawat IL96 yang bawa Vladimir Putin. Bersama-sama dengan 'propa' itu, bertebaranlah gambar IL96 yang warna dan coraknya mirip pesawat MAS.

Entah si Kitul mana yang terjumpa 'jigsaw puzzle' di tepi jalan lalu mencantumkan cerita yang tidak munasabah itu. Apakah ia dari pihak Ukraine?

Bagi saya, cerita itu bukan sahaja tidak munasabah malah sangat bodoh kerana kalaulah mahu dikata tembakan peluru berpandu itu pemberontak pro Rusia yang punya angkara, apa jenis penyakit gila yang telah merasuk mereka untuk menembak 'big boss' sendiri?

Yang kedua, Ukraine dengan Rusia diketahui bermusuh, dungu sangatkah Putin untuk melalui ruang udara negara musuh sedangkan dia tahu peluru berpandu BUK M1 boleh mencapai sasaran sejauh 35 kilometer atau 100,000 kaki?

Dalam perbualan dengan rakan-rakan wartawan, kami juga tertanya-tanya, mengapa Presiden Ukraine, Petro Poroshenko sebaik sahaja berlaku tragedi, pantas memberitahu dunia bahawa itu bukan angkara pihaknya.

Siapa yang tuduh dia?

Kremlin pada masa itu sekadar berdiam diri ketika tuduhan dalang bertubi-tubi ditujukan ke arahnya.

Tidak, kita tidak pun menuduh Ukraine. Yang tuduh Ukraine, Rusia dan yang tuduh Rusia, Ukraine, Amerika dan seluruh dunia yang mempercayai Amerika atau berjaya diperdaya olehnya.

Mujurlah, kebijaksanaan PM Najib memposisikan diri dalam situasi mencabar ini membantu kejayaannya berunding dengan Borodai. Rusia sebagai 'godfather' pun tidak berupaya mempengaruhi ketua pemberontak itu tetapi Najib telah melakukannya.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte juga sekadar berkomunikasi dengan Putin, bukan dengan pemberontak.

Dalam protokol diplomatik, bukan mudah sebenarnya bagi seseorang ketua kerajaan untuk berunding dengan pemberontak di luar sempadannya. Tindakan menongkah arus Najib bukan sahaja seperti melempar kek ke muka pemimpin-pemimpin besar dunia yang sekadar mampu menjerit dan melaung dari jauh supaya mangsa tragedi itu diberi keadilan, malahan juga boleh mengundang kecurigaan Kiev.

Berhubung secara terus dengan pemberontak boleh sahaja membuatkan Kuala Lumpur dilihat seolah-olah mengiktiraf pemberontak Donetsk. Walaupun secara tidak rasmi, hal yang seperti ini mudah dimanipulasi.

Kumpulan pemberontak yang dipimpin Borodai menguasai wilayah Crimea yang secara rasminya masih lagi sebahagian daripada Ukraine. Republik Rakyat Donetsk yang mana Borodai mengaku dirinya perdana menteri, tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara.

Justeru, urusan ini sememangnya tidak mudah bagi Najib. Namun demi kepentingan rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, dia lakukan juga dan kesudahannya, berjaya!

Sekarang, proses memindahkan mayat mangsa sedang dilakukan dalam perjalanan untuk dibawa pulang ke kampung halaman. Dalam kesibukan ini, orang sudah kurang memberi perhatian terhadap siapa sebenarnya dalang.

Dalam keadaan inilah, nun di Gaza... Amerika tiba-tiba dilapor menghantar 2,000 tentera untuk membantu pengganas Zionis yang sudah tidak terdaya menghadapi tentangan sengit komando Al-Qassam.

Apakah di belakang layar, kedua-dua kes ini ada kaitan? sumber

No comments: