Ahli politik Israel macam Hitler: Erdogan Tayyip Erdogan 
 
Ankara: Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan menuduh Israel melakukan 'keganasan serantau' dengan tindakan pengeboman di Gaza.

Beliau juga menyamakan ahli politik Israel dengan Hitler dengan melakukan serangan rambang, kenyataan yang sekali gus meningkatkan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara.
Israel meneruskan serangan ganasnya ke wilayah Gaza semalam enam jam selepas gencatan senjata yang dicadangkan Mesir gagal menghentikan tembakan roket oleh militan Palestin di wilayah Israel.

Sekurang-kurangnya 190 rakyat Palestin, kebanyakan mereka orang awam, terbunuh sejak operasi oleh tentera Israel mula seminggu yang lalu.

“Dengan tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa, Israel terus mengganas di rantau ini dan tiada negara yang berani mengeluarkan arahan supaya ia menghentikan tindakannya kecuali negara kami,” kata Tayyip ketika berucap di Parlimen, semalam.

Erdogan menegaskan tiada kezaliman yang kekal dan lambat laun Israel akan terpaksa membayar harga untuk setiap kezaliman yang dilakukan. Ucapan beliau mendapat pujian daripada penyokongnya dengan teriakan ‘Turki bangga terhadap anda’.

Ankara adalah bekas sekutu strategik terdekat Israel di rantau ini, tetapi Erdogan semakin lantang dalam kritikannya membabitkan tindakan Israel ke atas Palestin sejak kebelakangan ini. - REUTERS sumber