Wednesday, July 23, 2014

FILIPINA - 18 Maut dalam Pertempuran

Cotabato: Pertempuran sengit antara tentera Filipina dan pecahan kumpulan pemisah Islam di selatan negara itu meragut 18 nyawa dalam masa sehari keganasan, kata tentera, semalam.

Tujuh belas anggota Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) dan seorang anggota tentera maut dalam keganasan seharian itu kelmarin di Pulau Mindanao, kata komander tentera kawasan itu, Brigadier Jeneral Eduardo Pangilinan.

 Seorang anggota tentera terbunuh ketika serangan. Tujuh belas anggota pemisah maut apabila tentera membalas tembakan, katanya kepada wartawan.

Pertempuran reda semalam tetapi tentera terus berwaspada, dengan helikopter tempur terbang rendah dan kereta perisai diletakkan di jalan raya di Bandaraya Cotabato, pusat perdagangan di kawasan itu.

Tidak berlaku pertempuran lain tetapi kami meneruskan operasi kami di darat, kata Pangilinan.

Kejadian bermula awal pagi kelmarin ketika pemisah BIFF menyerang pangkalan luar tentera di wilayah Maguindanao yang digegarkan dengan keganasan. Ia kemudian merebak ke wilayah Cotabato Utara berhampiran sebelum pemisah berundur.

Jurucakap BIFF, Abu Misry Mama, menyangkal dakwaan tentera, sebaliknya berkata cuma empat anggotanya terbunuh.
Cuma empat maut. Kami tidak pernah menipu mengenai angka kematian kerana satu penghormatan meninggal dunia sebagai mujahidin, katanya.

Beliau berkata, BIFF melancarkan serangan bagi membalas dendam di atas penculikan seorang penduduk Islam dan anak lelakinya pada 3 Julai lalu.

Tentera sebelum ini menafikan tuduhan beliau, menyifatkan ia sebagai propaganda.

Sembilan orang awam cedera

Agensi kebajikan sosial wilayah berkata, sekurang-kurangnya sembilan penduduk awam cedera dan lebih 300 keluarga lagi terpaksa melarikan diri disebabkan pertempuran berkenaan.

BIFF berpecah dengan kumpulan pemisah Islam utama, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 2008. MILF menandatangani gencatan senjata dan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan bagi pembentukan wilayah autonomi di kawasan dikuasai penduduk Islam itu di selatan Filipina.

Bagaimanapun, BIFF yang dipercayai cuma mempunyai beberapa ratus anggota, menolak rundingan dan masih menuntut penubuhan negara Islam berasingan di selatan.

Ia sebelum ini melancarkan serangan di Mindanao dalam usaha mengganggu usaha damai. Pelbagai kumpulan pemisah termasuk MILF melancarkan pemberontakan di selatan Filipina sejak 1970-an bertujuan mendapatkan kemerdekaan atau autonomi kepada minoriti Islam di Mindanao.
AGENSI sumber

No comments: